Dua blok bangunan SMK Lawas musnah terbakar
LAWAS – Dua blok bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lawas musnah dalam satu kebakaran, malam tadi.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada orang awam sekitar pukul 11.36 malam.
“Berikutan itu, seramai 17 anggota bersama dua jentera digerakkan.
“Setibanya di lokasi kejadian, Komander Operasi melaporkan kebakaran melibatkan 2 blok bangunan sekolah jenis struktur separuh kekal yang terbakar 100 peratus pada struktur bangunan.
“Anggaran keluasan bagi blok pentadbiran yang berkeluasan 7,200 kaki persegi, dan blok gedung ilmu dengan keluasan 900 kaki persegi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, anggota terlibat berdepan kesukaran ketika melakukan kerja-kerja pemadaman akibat daripada masalah sumber air di lokasi kejadian.
Bagaimanapun, kebakaran berjaya dikawal dua jam kemudian sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.35 pagi tadi.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Difahamkan operasi sekolah terbabit juga ditangguh sementara bagi memberi ruang untuk pihak terlibat menjalankan siasatan punca kebakaran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








