
Dua beradik maut nahas di simpang empat Felda Ulu Tebrau
JOHOR BAHRU – Dua beradik maut dalam satu kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima di persimpangan lampu isyarat Simpang Empat Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, ACP Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 9.50 malam ketika mangsa, penunggang motosikal lelaki berusia 15 tahun bersama kakaknya yang berumur 20 tahun, dalam perjalanan dari arah Jalan Ledang menghala ke Felda Ulu Tebrau.
“Siasatan awal mendapati penunggang motosikal jenis Honda itu dipercayai membelok ke kanan dan tidak mematuhi isyarat lampu merah.
“Pada masa sama, Toyota Estima yang dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun sedang melalui laluan lurus selepas lampu isyarat bertukar hijau.
“Pemandu MPV berkenaan tidak sempat mengelak sebelum melanggar bahagian kanan motosikal terbabit, menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak ke laluan bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, akibat impak pelanggaran, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
Tambahnya, penunggang motosikal berkenaan juga tidak memiliki lesen memandu yang sah.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai dinasihatkan sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan berhemah ketika memandu termasuk mematuhi isyarat lampu jalan bagi mengelakkan tragedi seperti ini berulang.
“Sebarang maklumat daripada saksi kejadian boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di talian 07-3864222 bagi membantu siasatan,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |