
Dua anak Malaysia cipta sejarah, diterima masuk ke Akademi Tentera AS
KUALA LUMPUR – Dua anak muda Malaysia mencipta sejarah apabila diterima masuk ke dua institusi ketenteraan paling berprestij di Amerika Syarikat (AS) iaitu Akademi Tentera Amerika Syarikat (USMA) di West Point, New York dan Akademi Tentera Laut AS (USNA) di Annapolis, Maryland.
Luthfil Haikal Haswadi, 19, dari Dungun, Terengganu akan melanjutkan pengajian di West Point, manakala Rakis Ruhaim Abdul Rahman akan menyertai USNA, selepas kedua-duanya terpilih melalui proses pemilihan yang amat kompetitif.

Luthfil yang merupakan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang memperoleh 9A+ dalam SPM dan CGPA 4.0 dalam pengajian asas Kejuruteraan dan Teknologi di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Beliau juga pernah ditawarkan tempat di Akademi Pertahanan Jepun, namun memilih West Point kerana minatnya terhadap sejarah ketenteraan dan semangat patriotisme.
“Saya tak takut, malah saya teruja,” kata Luthfil ketika ditanya mengenai persediaannya menghadapi cabaran baharu di bumi asing, memetik laporan The Star Online.
Sementara itu, Rakis merupakan bekas pelajar Kolej Tentera Diraja (RMC) dan pernah menjadi kapten pasukan bola sepak sekolah.
Beliau menyertai latihan selama tiga bulan di Akademi Tentera Laut Murwik, Jerman dan belayar bersama kapal NATO di Laut Mediterranean.
Dengan pencapaian CGPA 3.80 dalam pengajian asas Kejuruteraan dan Teknologi di UPNM, beliau tekad untuk membalas pengorbanan keluarganya.
“Saya buat semua ini bukan untuk saya sahaja, tetapi untuk ibu bapa dan keluarga saya,” ujar Rakis.
Majlis penyerahan sijil pelantikan ke akademi masing-masing telah diadakan di kediaman rasmi Duta AS ke Malaysia, Edgard D. Kagan di Kuala Lumpur.
Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Reizal Arif Ismail.
Sejak tahun 1971, lebih 40 pelajar Malaysia telah menamatkan pengajian di akademi tentera Amerika Syarikat.
Mereka yang lulus akan menyumbang kepakaran dalam memperkukuh kerjasama keselamatan dua hala antara Malaysia dan AS serta memperkasa pertahanan negara.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |