
Dollah Salleh dilantik Ikon Glocal Football Academy, cungkil bakat muda
DALAM usaha mencungkil bakat baharu bola sepak negara, Glocal Football Academy baru-baru ini menganjurkan kejohanan Rising Star Grassroots Tournament yang mendapat sambutan hangat daripada komuniti setempat dan luar Lembah Klang.
Kejohanan peringkat akar umbi itu berjaya menghimpunkan lebih 500 pemain muda berusia bawah 12 tahun dari pelbagai pasukan sekitar Lembah Klang, Johor, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan.
Ia bertujuan memberi peluang kepada pemain cilik untuk mempamerkan bakat mereka sambil merasai pengalaman bersaing di peringkat lebih kompetitif.
Pengerusi Glocal Football Academy, Datuk Mohd Idzham Mohd Isa berkata, inisiatif itu sebahagian daripada misi akademi untuk mengembangkan bola sepak di peringkat akar umbi dan membentuk asas yang kukuh bagi pembangunan sukan tersebut di Malaysia.
“Kejohanan seperti ini bukan sahaja platform untuk mencungkil bakat baharu, tetapi juga membantu memupuk nilai-nilai seperti disiplin, kerjasama berpasukan dan semangat kesukanan dalam kalangan pemain muda,” katanya.
Kejohanan yang pertama kali dianjurkan itu disertai lebih 40 pasukan dari kelab bola sepak dengan pemain berusia antara empat hingga 12 tahun.
Acara itu terbahagi kepada empat kategori iaitu bawah enam tahun, bawah lapan tahun, bawah 10 tahun dan bawah 12 tahun.
Menurut Mohd Idzham, program itu diusahakan oleh kelab-kelab tempatan yang komited menyediakan peluang latihan bola sepak kepada kanak-kanak.
“Kejohanan ini diadakan sebagai platform untuk pemain muda membina asas dalam bola sepak, mengembangkan bakat mereka dan nak mencungkil bakat-bakat baru.
“Aktiviti ini bertujuan membentuk disiplin, meningkatkan keyakinan diri dan memberikan alternatif aktiviti yang bermanfaat untuk kanak-kanak di kawasan bandar yang kurang kemudahan sukan.
“Kami juga merancang untuk menjadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan yang lebih besar dan berprestij dengan kemungkinan mewujudkan liga bola sepak di masa hadapan.
“Glocal Football Academy juga berharap dapat melahirkan lebih ramai pemain berbakat yang mampu bersinar di pentas antarabangsa. Selain itu, sebuah klinik bola sepak percuma juga dirancang sebagai inisiatif untuk mendedahkan kanak-kanak kepada asas-asas bola sepak dan memberi peluang kanak-kanak sekitar Lembah Klang menyertai kelab ini,” ujarnya.

Pada hari itu juga, Mohd Idzham mengumumkan perlantikan Datuk Dollah Salleh sebagai Ikon Glocal Football Academy.
“Kami lantik Datuk Dollah Salleh bukan untuk melatih budak-budak ni…tapi kami nak bagi mereka lebih bersemangat.
“Biasalah budak-budak ini bila jumpa idol mereka. Mungkin Datuk Dolah boleh beri motivasi dan berkongsi pengalamannya sepanjang bermain bola sepak.
“Datuk juga ada banyak pengalaman, mungkin kami akan buka klinik bola sepak dan dapatlah Datuk berkongsi pengalaman dan bagi motivasi kepada pemain-pemain ini nanti.
Sementara itu, Glocal Football Academy komited mencungkil bakat baharu dalam kalangan kanak-kanak yang meminat sukan itu.
Mohd Idzham berkata, selain mengutamakan kecemerlangan dalam permainan, akademi itu turut memberi penekanan kepada pembentukan sahsiah dan kemahiran insaniah, menjadikannya pilihan utama bagi ibu bapa yang ingin memastikan anak-anak mereka memperoleh keseimbangan antara pendidikan dan sukan.
Glocal Football Academy kini muncul sebagai platform unggul mencungkil bakat baharu dalam arena bola sepak, sambil membantu kanak-kanak mencapai potensi penuh mereka dalam bidang sukan sejak peringkat awal.
Buat masa ini, akademi tersebut mempunyai lapan jurulatih berpengalaman yang berdedikasi dalam pembangunan bola sepak. Mereka melatih lebih 80 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun bagi membentuk dan melahirkan barisan pelapis pemain bolasepak yang bukan sahaja berbakat tetapi juga berintegriti tinggi.
Kanak-kanak yang berminat menyertai akademi itu dikenakan bayaran penyertaan sebanyak RM150 termasuk jersi, botol air dan sebulan latihan percuma.
Selepas itu, yuran bulanan adalah RM100 dengan latihan diadakan empat kali sebulan pada setiap hari sabtu dari jam 3 hingga 4.30 petang di Brainy Bunch Sports Park, Taman Melawati. Mereka yang berminat boleh hubungi Puan Fairuza 0182456017.

Sementara itu, Datuk Dollah Salleh yang dilantik Ikon Glocal Football Academy berkata, untuk anak-anak ini dia tak jadi masalah untuk bekerjasama bagi membimbing dan melahirkan pelapis bola sepak yang berkaliber.
“Dulu saya memang bekas pemain bola sepak kebangsaan dan juga jurulatih. Jadi saya memang berminat untuk melihat bakat-bakat mereka ini. Kita ketandusan pemain pelapis bola sepak negara dan kalau boleh saya memang nak lihat pemain tempatan yang lebih menyerlah di arena bola sepak.
“Selama ini banyak tempat ada juga buat program sebegini tapi mereka buat sambil lewa saja. Mereka tak fikir bagaimana nak melatih budak-budak ini kerana mereka inilah bakal-bakal pemain yang akan dijadikan pemain negeri dan pasukan kebangsaan…itu yang ingin saya lakukan mengenalpasti bakat-bakat mereka ini.
“Jadi bila dipelawa untuk jadi ikon, saya tak cakap banyak dan terus setuju. Saya pun tak sangka kejohanan hari ini begitu ramai yang datang dan ini secara tidak langsung buat saya lebih bersemangat.
“Sebagai ikon, saya akan cari pemain-pemain yang berbakat, berpotensi dan boleh dibawa ke tengah. Saya akan bantu anak-anak ini supaya mereka dapat bermain diperingkat lebih tinggi,” kata pengurus bola sepak pasukan Sri Pahang ini.
Dollah menambah, sukan bola sepak bukan hanya mampu meningkatkan kecergasan malah membina kemahiran komunikasi, serta mengajar nilai-nilai seperti disiplin, kepimpinan dan etika.
“Malah, ia juga melatih anak-anak dalam pengurusan emosi, meningkatkan keyakinan diri, dan memupuk semangat kesukanan. Melalui sukan, anak-anak bukan sahaja dapat memperkukuh asas kejayaan masa depan, malah menjadi individu yang seimbang dan berdaya saing.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |