Berita Semasa

DMDI lancar tabung bantuan perubatan untuk Gaza

KAJANG – Kemusnahan dan tekanan yang dikenakan tentera Israel terhadap rakyat Palestin termasuk kemusnahan teruk kemudahan kesihatan bakal menyaksikan penderitaan dan malapetaka yang berpanjangan di bumi Gaza.

Menyedari keperluan yang mendesak pada ketika ini, Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) baru-baru ini melancarkan Tabung Palestin DMDI yang bertujuan mengumpul bantuan bagi membolehkan bantuan perubatan disalurkan kepada rakyat Palestin.

Presiden DMDI Selangor, Datuk Saroni Judi berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab bagi menzahirkan solidariti bersama rakyat negara ini untuk bersama-sama meringankan penderitaan rakyat Palestin melalui bantuan barangan perubatan dan ubat-ubatan.

“Kami mengajak semua rakyat Malaysia tidak kira agama dan bangsa untuk menzahirkan simpati dan solidariti kepada rakyat Palestin yang terus diperangi, dibunuh, ditindas dan dizalimi oleh rejim Zionis Israel.

“Serangan berterusan Israel terhadap hospital, ambulans dan kakitangan perubatan di Gaza amat menyedihkan dan bakal menyebabkan krisis kemanusiaan yang lebih dahsyat sekiranya tiada bantuan luar disalurkan,” katanya.

Datuk Saroni Judi menyampaikan hadiah saguhati kepada Datuk Seri Ahmad Maslan pada Perhimpunan Solidariti Palestin “Selamatkan Hospital, Selamatkan Palestin” anjuran DMDI di Dataran Stadium Kajang, semalam.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Solidariti Palestin “Selamatkan Hospital, Selamatkan Palestin” anjuran DMDI yang dihadiri kira-kira 2,000 orang di Dataran Stadium Kajang, semalam.

Program anjuran bersama Kajang Plaza Medical Centre (KPMC), Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH), Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Polis Diraja Malaysia dan Nurflix itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Saroni selaku Ketua Pegawai Eksekutif KPMC berkata, kutipan dana melalui tabung itu akan disalurkan untuk tujuan membina semula hospital yang telah musnah dan membeli bekalan ubat-ubatan yang amat diperlukan petugas kesihatan di Gaza.

“Setiap mangsa perang atau orang awam sewajarnya diberi kemudahan untuk mendapatkan rawatan di mana-mana hospital di kawasan konflik itu.

“Apa yang berlaku ketika ini tidak dapat diterima oleh akal fikiran kita sebagai manusia apabila kemudahan kesihatan juga menjadi mangsa kerakusan tentera Zionis,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan ke Tabung Palestine DMDI boleh berbuat demikian ke akaun DMDI Malaysia 0404 2010 0112 66 (Bank Islam).

Rombongan konvoi bermotor yang menyertai Perhimpunan Solidariti Palestin “Selamatkan Hospital, Selamatkan Palestin” di Dataran Stadium Kajang, semalam.

 

Majlis solat hajat yang diadakan pada pada Perhimpunan Solidariti Palestin “Selamatkan Hospital, Selamatkan Palestin” di Dataran Stadium Kajang, semalam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button