
DLE: Inisiatif kerjasama MCMC, Huawei lahirkan 50 pemimpin digital berkaliber
KUALA LUMPUR – Seramai 50 pemimpin daripada sektor kerajaan, industri dan akademik dalam kohort pertama telah berjaya menamatkan Program Kecemerlangan Kepimpinan Digital (DLE).
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, program hasil kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) itu penting dalam mengukuhkan daya saing global negara.
“Kerjasama antara kerajaan, industri dan akademia adalah penting dalam mewujudkan ekosistem yang teguh untuk inovasi, pembangunan bakat dan kemajuan negara.
“Dalam menyandang jawatan Pengerusi ASEAN tahun ini, peranan kita membentuk masa depan yang dipacu secara digital kini amat penting. Program DLE ini mencerminkan komitmen tersebut, yang melengkapkan pemimpin-pemimpin digital untuk memacu inovasi dan impak.
“Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan Madani komited untuk memupuk Malaysia yang berdaya saing dan bersedia untuk masa hadapan,” katanya ketika berucap sebelum merasmikan Majlis Graduasi Program DLE 2024 di ibu negara hari ini.
Dalam ucapannya, Fahmi amat menggalakkan pemimpin dalam sektor awam dan swasta untuk merebut peluang bagi menjadi sebahagian daripada kohort DLE pada masa hadapan.
“Inisiatif utama yang muncul daripada program DLE ini termasuk projek Hab Pendidikan Tinggi Nasional Al yang dipandu oleh Universiti Sains Islam Malaysia, yang bertujuan meletakkan Malaysia sebagai hab pendidikan Kecerdasan Buatan (Al) terkemuka di rantau ini menjelang 2030.
“Ini termasuk Projek Kelestarian ESG Adoption for Malaysia SME, yang membantu syarikat perusahaan kecil sederhana (PKS) dalam menerima pakai amalan mampan melalui ekosistem digital, disokong oleh agensi kerajaan serta inisiatif-inisiatif lain,” katanya.

Dalam majlis yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Simon Sun berkata, syarikat itu berbangga menjadi rakan kongsi dengan pemimpin digital yang pada hadir hari ini.
Beliau berkata, ia memandangkan Huawei telah berjaya membantu dalam mencipta ekosistem bakat yang akan memacu negara ini ke dalam kuasa digital di rantau ini.
“Sambil anda belajar daripada kami, ketahuilah bahawa anda juga menyediakan kami peluang berharga untuk belajar daripada anda. Kami kini berharap dapat bekerjasama dengan anda dalam mempercepatkan transformasi digital serta pintar,” katanya.
Program DLE ialah inisiatif latihan hibrid lapan bulan intensif yang meliputi domain utama seperti 5G, Al, Internet Benda (IOT), Pengkomputeran Awan, Big Data, Teknologi Hijau dan Keselamatan Siber.
Dilancarkan pada Mac 2024, Program DLE dianggap sebagai respons langsung kepada seruan Perdana Menteri pada Sidang Kemuncak ICT Malaysia 2023 yang dihoskan oleh Huawei Malaysia, untuk merapatkan jurang antara kepimpinan dan teknologi.
Program DLE disasar untuk membangunkan 300 Peneraju Digital Malaysia menjelang 2026, dengan matlamat utamanya adalah untuk melengkapkan pemimpin dengan pengetahuan dan alatan bagi menerajui transformasi digital dalam organisasi mereka dan meningkatkan kecekapan operasi.
Bahagian kedua Program DLE pula disasar melibatkan pembabitan 100 peserta, manakala bahagian ketiga dan terakhir akan menyasarkan 150 peserta.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |