Pusat Inovasi Halal Global bakal diwujudkan di Terengganu
CHUKAI – Universiti Kolej TATI (UC TATI) menjalinkan kerjasama strategik bersama HAL Fintech Advisor bagi menubuhkan Pusat Inovasi Halal Global di Terengganu dalam usaha memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai hab halal bertaraf antarabangsa.
Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berlangsung di Dewan Canselori UC TATI, disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar.
Rektor UC TATI, Prof Ir Hairul Azhar, mewakili institusi tersebut manakala HAL Fintech Advisor diwakili pengasasnya, Aizuddinur Zakaria yang turut dilantik sebagai Profesor Adjung UC TATI.
Turut hadir, wakil akademik dan pemain industri dari Malaysia serta Indonesia.
Menurut kenyataan bersama, pusat berkenaan bakal memfokuskan kepada pembangunan ekosistem halal yang berteraskan teknologi, termasuk pensijilan digital, sistem pemantauan pintar serta pematuhan piawaian antarabangsa secara automatik.
“Kerjasama ini menyatukan kekuatan UC TATI dalam bidang pendidikan teknikal dan kejuruteraan dengan kepakaran HAL Fintech dalam penasihatan halal global, keselamatan makanan serta penyelesaian berasaskan teknologi,” kata kenyataan itu.
Pusat tersebut akan diterajui Pensyarah Kanan UC TATI, Dr Hajaratun Najwa yang memiliki kepakaran dalam pengurusan halal dan pembangunan ekosistem halal secara menyeluruh.
Sementara itu, Aizuddinur berkata, permintaan terhadap produk halal berasaskan teknologi semakin meningkat di peringkat global dan Malaysia harus menjadi peneraju dalam aspek pensijilan serta pematuhan digital.
“HAL Fintech kini mempunyai kehadiran di Korea Selatan, Jepun, United Kingdom, Perancis dan Nigeria. Ini menunjukkan potensi kerjasama ini untuk memberi impak melangkaui sempadan,” katanya.
Dalam pada itu, Prof Ir Hairul berkata, inisiatif ini bukan hanya tertumpu kepada pensijilan halal, tetapi membina rantaian inovasi halal yang mampan dan berdaya saing melalui teknologi dan pendidikan.
UC TATI sebelum ini dikenali sebagai institusi teknikal terkemuka di Pantai Timur, dengan pengkhususan dalam bidang kejuruteraan, ICT dan teknologi industri.
HAL Fintech Advisor pula merupakan firma penasihat halal global yang menawarkan platform pensijilan digital, dasar pematuhan serta perkhidmatan transformasi halal untuk kerajaan dan sektor swasta.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








