
Disyaki palsu dokumen, dua pengarah syarikat direman
KUALA LUMPUR – Dua pengarah syarikat direman selama lima hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam pemalsuan dokumen untuk mendapatkan permit pekerja asing di negara ini.
Perintah reman terhadap kedua-dua suspek lelaki berusia sekitar 50-an itu dikeluarkan oleh Majistret Noorelynna Hanim Abd Hanim selepas permohonan reman dibuat oleh pihak SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, semalam.
Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan pada pukul 7 malam semalam ketika mereka hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek melalui syarikat masing-masing, didakwa mengemukakan dokumen permohonan bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 kepada Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Dokumen tersebut dipercayai mengandungi butir matan palsu dengan niat untuk memperdayakan pihak jabatan berkenaan bagi mengeluarkan Pelekat Lanjutan Kerja Sementara (PLKS) kepada pekerja asing yang sebenarnya tidak pernah bekerja dengan syarikat terbabit.
Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib, mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes kini disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Tambah beliau, pihak SPRM kini sedang giat mengesan dua individu yang dipercayai berperanan sebagai ejen dalam pemalsuan dokumen tersebut.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |