
Diskaun tol 50 peratus: Inisiatif murni untuk rakyat
KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan memberi diskaun separuh harga bagi pembayaran tol di seluruh negara setiap kali tiba musim perayaan memberi pelbagai manfaat selain meringankan beban kewangan ditanggung rakyat.
Inisiatif ini bukan sahaja dapat meningkatkan kadar mobiliti ke serata tanah air malah dilihat mampu merangsang pertumbuhan ekonomi dan memperbaiki kualiti hidup.

Sempena sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini, kerajaan mengumumkan pemberian diskaun yang berkuat kuasa pada 28 Januari 2025 bermula pukul 12 tengah malam sehingga 11.59 malam pada hari yang sama.
Langkah ini sekali lagi membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan selaras dengan usaha kerajaan untuk meraikan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia.
Perunding Kewangan, Aziana AR berkata, pemberian diskaun sebanyak 50 peratus tol pada musim perayaan yang berkonsepkan ‘situasi menang-menang’ ini sedikit sebanyak membantu penjimatan dan beban kewangan rakyat di musim perayaan.

“Kita sedia maklum, setiap kali tibanya musim perayaan, bukan hanya kaum tertentu yang meraikannya, namun seluruh rakyat Malaysia akan menggunakan kesempatan cuti yang ada untuk melakukan perjalanan ke destinasi tertentu.
“Dalam masa yang sama, ia dapat menjana ekonomi setempat di sektor lain seperti hotel, pelancongan dan makanan apabila rakyat keluar melakukan pelbagai aktiviti kekeluargaan,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Penulis buku Urus Rezeki itu juga memberitahu, walaupun tidak melibatkan nilai yang terlalu besar, pengurangan kos tol tersebut sangat bermakna dalam keadaan ekonomi semasa di mana ramai yang menghadapi tekanan kos sara hidup yang tinggi.
Sementara itu, orang ramai menyambut baik pengumuman tersebut dan meluahkan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan.
Pengguna lebuh raya, Eelin Tan pula menyifatkan pengurangan kadar tol itu sesuatu yang amat dihargainya.

“Walaupun tidak dapat tol percuma tapi sekurang-kurangnya ia dapat menjimatkan perjalanan saya untuk pulang ke kampung halaman di Johor,” ujar wanita mualaf itu.
Bagi Mohd Fauzie Baharom pula, beliau berharap pemberian diskaun tol itu dapat dilanjutkan selama dua hari bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pengguna.

“Kesempatan untuk balik kampung dengan penjimatan ini bukan selalu dinikmati. Apabila ada peluang seperti ini, sudah tentu kita tidak lupa komitmen kerajaan,” katanya.
Katanya, diskaun tol 50 peratus sempena Tahun Baharu Cina itu adalah langkah positif yang mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |