Berita Semasa

Didakwa buat kecoh di KLIA, King Sing dakwa berlaku unsur rasuah di pintu masuk negara

KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang didakwa melakukan kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam menafikan tuduhan beliau bertindak melepaskan pelancong asing yang ditahan oleh pihak imigresen.

King Sing berkata, beliau tidak mempunyai kuasa untuk berbuat sedemikian dan sedar tindakan itu hanya akan merosakkan reputasinya sendiri jika berbuat demikian.

“Benar, daripada gambar tular itu, memang ianya saya dan saya juga berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada ketika itu selepas menerima aduan daripada pelancong, untuk memahami keadaan ketibaan pelancong asing ke Malaysia, ini pemantauan biasa bagi seorang menteri untuk turun padang.

“Saya bersyukur, kerana kehadiran saya telah membongkar satu peristiwa yang memalukan negara apabila wujudnya budaya rasuah yang dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara.

“Saya masih waras dan tahu batas-batas sebagai seorang Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya. Apa guna saya sebagai Menteri sekiranya saya tidak memberi tumpuan serius terhadap kepentingan negara, tambahan pula ia menjejaskan imej negara dan menakut-nakutkan pelancong asing?

“Jika kita tidak serius dalam isu ini sekarang, sampai bila-bila pun ia tidak akan diselesaikan. Mungkinkah ada segelintir pegawai takut jika perkara ini terbongkar sehingga memberi kesan kepada kepentingan peribadi mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut King Sing, pelancong asing itu
telah ditahan tanpa diberikan alasan atau sebab ditahan.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa pelancong tersebut telah lengkap segala dokumentasi namun kegagalan komunikasi antara pegawai imigresen dan pelancong itu mengagalkan pihak imigresen mendapatkan dokumen yang diperlukan daripada pihaknya.

“Dalam lawatan ke KLIA itu, saya turut membawa pegawai siasatan daripada unit integriti di bawah MOTAC. Saya merasakan sudah tiba masanya pasukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masuk ke KLIA1 secara besar-besaran untuk menyiasat apa yang berlaku di pintu masuk utama negara ini.

“Terdapat juga isu mengenai pelancong asing yang tiba di sini dirampas telefon bimbit mereka, tanpa dijelaskan kenapa mereka ditahan. Adakah ia mengikut prosedur dan piawaian dalam undang-undang?

“Saya juga mendapat maklumat bahawa adanya pegawai yang mengubah akta yang termaktub dalam perundangan mereka sesuka hati ketika di lapangan. Malah, wanita yang ditahan tersebut juga tidak diberikan makanan yang sewajarnya ketika ditahan dan ini jelas melanggar undang-undang.

“Saya difahamkan wanita tersebut diberi makan hanya sekali sahaja dalam tempoh 15 jam sepanjang ditahan,” katanya.

Dalam pada itu King Sing turut membangkitkan tujuan gambar itu ditularkan kerana ia jelas daripada pihak dalaman agensi sendiri.

“Kenapa tularkan gambar dengan persepsi tidak tepat dan berita yang berunsur fitnah?

“Saya menekankan sekali bahawa SKMM mesti menyiasatkan daripada pegawai dalaman yang menularkan dan fitnah atas gambar-gambar dan maklumat tersebut.

“Walaupun niat mereka tidak diketahui, maka berkemungkinan mereka terkejut dengan penyertaan SPRM dan bimbang bahawa “sumber pendapatan” mereka akan terputus atau terancam. Mungkin juga mereka ingin melindungi rakan-rakannya dengan sengaja membocorkan maklumat, membuat tuduhan tanpa asas dan menyebarkan laporan palsu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut mendakwa menerima laporan bahawa terdapat pegawai imigresen yang meminta wang diberikan sekiranya pelancong asing yang ditahan mahu dilepaskan.

“Ada yang minta sehingga RM3,000 untuk dikeluarkan dari tahanan termasuk tiket penerbangan pulang ke negara asal.

“Tambahan RM3,000 pula diminta jika mahu pulang ke negara asal dengan kadar segera menerusi ‘laluan khas’, manakala RM12,000 untuk kos memproses visa.

“Semua maklumat ini akan diserahkan kepada SPRM supaya siasatan dapat dijalankan seterusnya dapat memulihkan imej Malaysia terutamanya di pintu masuk negara,” ujarnya.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button