
Di belakang saya api menjulang setinggi bangunan 30 tingkat
PUTRAJAYA— “Saya cuma sempat capai telefon dan tuala sebelum lari keluar rumah,” demikian kata Nur Syatira Salleh, 30 tahun, salah seorang mangsa kebakaran paip gas yang menggemparkan kawasan perumahan di Putra Heights pada Selasa lalu.
Ketika kejadian sekitar pukul 8 pagi itu, Syatira sedang tidur selepas menunaikan solat Subuh.
Dia yang bertugas di sebuah hospital di Cyberjaya tak menyangka hari itu akan mengubah hidupnya.
Ketika kejadian Syatira berada di rumah yang didiaminya sendirian kerana anak-anak dan suaminya berada di kampung.
“Rumah saya rumah bawah, kalau hujan pun tak dengar sangat, cuma dengar bunyi pantulan hujan saja.
“Tapi pagi tu, saya terjaga bila terdengar bunyi macam benda jatuh dari langit,” katanya mengenang semula saat kejadian.
Terkejut, dia segera menjenguk keluar tingkap dan melihat ramai jiran yang sudah pun berada di luar rumah.
“Semua orang jerit suruh keluar, ada api! Saya capai telefon dan tuala yang paling dekat dan terus keluar rumah, masa tu saya tak perasan lagi api dekat belakang rumah,” katanya.
Hanya apabila terdengar laungan orang kampung yang menjeritkan “api-api!”, barulah Syatira menyedari betapa seriusnya keadaan.
Dalam keadaan panik, dia tidak berfikir panjang dan terus melarikan diri melalui jalan kecil di kawasan hutan, meskipun terdapat laluan bertar.
“Saya rasa panas sangat, bila toleh ke belakang, saya nampak api sangat besar, lebih kurang setinggi 30 tingkat.
“Saya terjatuh masa lari, kasut pun tertanggal, tinggal sebelah. Tapi saya tetap lari dalam satu kilometer lebih,” ujarnya.
Sepanjang perjalanan itu, bahang api yang dirasai begitu kuat sehingga beliau tidak menyedari tangannya telah melecur.
Kakinya pula cedera teruk, kulit tanggal hingga kelihatan isi merah yang terdedah.
“Bila dah tak mampu nak lari, saya jalan perlahan-lahan. Syukur ada orang kampung datang bantu dan bawa saya ke stesen Petronas. Dari situ, saya dihantar ke ambulans,” ceritanya lagi.
Menurut Syatira, keadaan menjadi huru-hara kerana semua orang panik. Ada yang terjatuh, ada yang berlari ke arah berlainan.
Ketika kakinya mula terasa sakit, dia menyuruh orang lain teruskan larian tanpa dirinya kerana merasakan dia sudah cukup jauh dari kawasan api.
Beliau kini sedang menjalani rawatan pemulihan setelah melecur teruk pada belakang badan, kedua-dua belah tangan dan kedua belah kaki, namun trauma masih menyelubungi dirinya.
“Saya dah boleh makan sendiri sekarang, Alhamdulillah, tapi setiap malam saya masih terjaga, terbayang api besar depan mata, percikan api sikit pun boleh buat kita rasa sakit inikan pula api besar macam tu,” katanya ketika ditemui Malaysia Tribune.
Letupan itu turut memusnahkan rumah yang didudukinya, bahagian dapur hangus terbakar, bersama sebuah kereta dan motosikal miliknya.
Syatira, ibu kepada dua anak lelaki berusia lima dan dua tahun, kini hanya berharap agar masa dapat menyembuhkan luka fizikal dan trauma yang masih menghantui dirinya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |