BERITA SEMASA

Dewan serbaguna Kampung Tebuk Mufrad siap, manfaat hampir 2,600 penduduk

SABAK BERNAM – Penduduk Kampung Tebuk Mufrad kini menikmati kemudahan baharu selepas Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyerahkan sebuah dewan serbaguna terbuka bernilai RM2.35 juta di bawah Program Kampung Angkat MADANI.

Majlis penyerahan disempurnakan Menterinya, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam; wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, pegawai daerah dan penduduk setempat.

Dewan yang dibina dalam tempoh tujuh bulan di atas tanah wakaf Masjid Tebuk Mufrad seluas 2,600 meter persegi itu menjadi antara projek paling pantas siap melalui kerjasama MITI dan JKR.

Kemudahan berkenaan dilengkapi ruang aktiviti sukan seperti futsal, badminton, bola tampar, bola keranjang dan sepak takraw serta boleh digunakan untuk program komuniti, kesihatan, keagamaan dan majlis kampung.

Tengku Zafrul berkata, projek itu membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

“MITI berharap dewan ini bukan sahaja memperkukuh perpaduan dan kesejahteraan komuniti tetapi turut merangsang ekonomi tempatan termasuk keusahawanan, inap desa dan produk kampung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut MITI, 14 agensi di bawah kementerian turut menyumbang pelbagai inisiatif termasuk komputer, lampu solar serta program pembangunan insan seperti latihan keusahawanan, saringan kesihatan, bengkel kemahiran, motivasi remaja dan ceramah agama.

Pada majlis yang sama, MITI turut melancarkan buku Tebuk Mufrad: Kampung Angkat MADANI MITI yang ditulis penduduk sebagai rekod perjalanan program berkenaan.

Ketua Setiausaha MITI, Datuk Hairil Yahri Yaacob berkata, dewan tersebut akan menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan dan peluang ekonomi baharu.

“MITI komited membawa pembangunan lebih dekat kepada rakyat. Kerjasama kerajaan, agensi pelaksana dan komuniti menjadikan projek ini realiti,” katanya lagi.

MITI turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri Selangor, JKR, MAIS, JAIS, Pejabat Daerah Sabak Bernam dan JKKK atas sokongan diberikan.

Kementerian itu berharap dewan tersebut digunakan sepenuhnya bagi aktiviti komuniti, program belia, sambutan perayaan serta pembangunan bakat sukan untuk manfaat jangka panjang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button