Deklarasi Kuala Lumpur bukti komitmen teguh ASEAN
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Deklarasi Kuala Lumpur yang akan dilancarkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 bakal menetapkan hala tuju masa hadapan blok serantau itu dalam pelbagai aspek.
Ia termasuklah tadbir urus, transformasi digital dan kesiapsiagaan strategik.
“Deklarasi ini adalah kemuncak kepada kerjasama erat antara pemimpin politik, cendekiawan dan pegawai kanan kerajaan dan ia mencerminkan komitmen bersama ASEAN untuk bergerak melangkaui retorik kepada tindakan sebenar dalam isu-isu penting berorientasikan masa hadapan,” katanya memetik laporan Bernama.
Anwar berkata demikian pada sesi taklimat berkaitan Sidang Kemuncak ASEAN 2025 bersama ketua-ketua pengarang media tempatan dan antarabangsa di Kompleks Seri Perdana, di sini malam tadi.
Menurut beliau, deklarasi itu merangkumi tinjauan menyeluruh mengenai apa yang perlu dilihat atau dijangkakan.
“Tadbir urus, pembangunan digital dan masa depan, inilah bidang yang akan kita tangani secara menyeluruh dalam Deklarasi KL,” ujar beliau.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj dan Ketua Pengarang Malaysia Tribune, Sharaimei Shaik Ahmedullah.
Anwar menegaskan bahawa keamanan dan keselamatan, kekal sebagai prasyarat penting untuk kemajuan serantau, namun menekankan bahawa deklarasi tersebut turut merangkumi fokus strategik untuk fasa pembangunan ASEAN yang seterusnya.
BACA : Deklarasi Kuala Lumpur dilancar sempena Sidang Kemuncak Asean Ke-46
“Sudah tentu, keamanan dan keselamatan adalah fundamental. Tetapi kini, kumpulan subserantau dan serantau juga mahukan lebih daripada sekadar kerjasama dan persefahaman, mereka mahukan spesifik. Dan Deklarasi KL menangani perkara itu,” kata beliau.
Anwar berkata dokumen itu telah dibincangkan dan diperhalusi dalam sesi pemimpin ASEAN baru-baru ini dan telah dicapai kata sepakat untuk meneruskan pelaksanaannya.
“Terdapat konsensus yang kuat. Kami teliti draf tersebut dan dari situ kami bergerak ke hadapan. Sebahagian besar kandungan telah pun diketahui negara anggota, yang penting sekarang ialah komitmen tegas untuk melaksanakannya,” katanya.
Semalam, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengesahkan bahawa Deklarasi Kuala Lumpur akan dilancarkan secara rasmi semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Malaysia.
Fahmi berkata deklarasi itu merangkumi beberapa dokumen utama yang mencerminkan aspirasi strategik ASEAN di bawah kepengerusian Malaysia.
BACA : Malaysia anjur tiga Sidang Kemuncak ASEAN
Malaysia kini memegang jawatan Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025 dengan tema memperkukuh daya tahan komuniti, kelestarian ekonomi dan kesiapsiagaan masa depan.
Sebagai pengerusi dan tuan rumah ASEAN 2025, Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 26 hingga 27 Mei.
Bersempena sidang kemuncak itu, dua mesyuarat peringkat tinggi penting turut akan diadakan iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, yang menjadi platform penting bagi memperluas kerjasama serantau dan antara serantau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






