Deklarasi bersama tanda hormat hak Sarawak dalam MA63 – Abang Johari
KUCHING – Deklarasi bersama yang dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak semalam merupakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh kerjasama di peringakat persekutuan, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas komitmen dan kepimpinan dalam memeterai deklarasi berkenaan yang dianggap sebagai satu langkah bersejarah bagi hubungan dua hala antara kedua-dua kerajaan.
“Ini membuktikan kesungguhan Perdana Menteri mewakili Kerajaan Persekutuan untuk menghormati aspirasi serta hak perlembagaan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC),” katanya.
Baca juga : Petronas terus laksana peranan di Sarawak mengikut Akta Pembangunan Petroleum 1974
Polemik melibatkan Petronas dan Petros selesai apabila Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak memeterai deklarasi bersama, di Putrajaya, semalam.
Anwar dalam satu kenyataan memaklumkan peranan Petronas tidak tergugat dan Petros akan diiktiraf mengambil kira perkembangan baharu dan kuasa yang diperuntukkan kepada Sarawak.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, deklarasi itu turut mengukuhkan pendirian bahawa undang-undang Persekutuan dan Negeri Sarawak perlu wujud secara harmoni dan dihormati oleh semua pihak.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak menyambut baik deklarasi tersebut sebagai manifestasi pengiktirafan terhadap kerangka perundangan negeri, khususnya Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO 2016) dan peranan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) sebagai pengagregat gas di negeri itu.
“Semua pihak yang terlibat dalam pemasaran, pengedaran dan pembekalan gas kepada pengguna di Sarawak perlu mematuhi peruntukan di bawah DGO 2016,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Sarawak komited untuk bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan, Petronas dan Petros bagi melaksanakan kerangka berkenaan secara berhemah.
Langkah itu, katanya, adalah selari dengan hasrat Sarawak untuk membangunkan potensi gas negeri, melaksanakan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak, serta mempercepatkan peralihan kepada tenaga yang lebih bersih dan mampan.
“Bagi projek masa depan di Sarawak yang melibatkan rakan antarabangsa, Petronas akan bekerjasama dengan Petros,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, deklarasi berkenaan turut mencerminkan penghormatan terhadap hak Sarawak dan membuktikan bahawa kemajuan hanya dapat dicapai menerusi kerjasama serta kepercayaan bersama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






