BERITA SEMASA

DBKL ulangi jaminan Jalan Masjid India selamat dikunjungi

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi jaminan keseluruhan kawasan di Jalan Masjid India di sini selamat untuk dikunjungi dan tiada gerai atau bangunan yang diarahkan untuk menutup operasi.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata ketika ini kawasan yang ditutup dengan penghadang hanya melibatkan laluan sepanjang kira-kira 200 meter dari Wisma Yakin ke pondok polis bagi memberi laluan kepada kerja pemulihan dan pembinaan di lokasi insiden tanah jerlus.

“Sepanjang kejadian itu kita tiada (arahan) menutup mana-mana gerai, cuma menutup sebahagian kawasan itu sahaja. Orang ramai masih boleh datang berkunjung mengikut laluan pejalan kaki.

“Kita juga telah berjumpa dengan persatuan peniaga di kawasan Jalan Masjid India semalam dan memberi pengesahan kawasan sekitar itu selamat, cuma dilarang menghampiri kawasan yang ditutup dengan penghadang sahaja,” katanya memetik laporan Bernama hari ini.

Pada 23 Ogos lalu, seorang wanita, G Vijaya Lakshmi, 48, dari Kuppam, Andhra, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India. Selepas sembilan hari, operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita itu dihentikan tanpa sebarang penemuan.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming dilaporkan berkata insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India merupakan kes terpencil dan tidak seharusnya menggambarkan negara ini, khususnya Kuala Lumpur tidak selamat didiami.

Nga berkata struktur bangunan didirikan di negara ini adalah selamat mengikut standard yang tinggi dan pemetaan utiliti bawah tanah mengikut koridor utiliti negeri turut dijalankan sepanjang masa secara berfasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button