
DBKL tegas laksana peraturan papan tanda dwibahasa
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan tindakan penguatkuasaan terhadap papan tanda dwibahasa di ibu kota dilakukan berdasarkan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan berhubung penggunaan bahasa rasmi negara.
DBKL dalam satu kenyataan berkata, langkah tersebut bertujuan memastikan pemilik premis mematuhi peraturan di bawah Undang-Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.
“Semua pemilik premis perniagaan hendaklah memastikan papan tanda iklan dipasang hanya selepas mendapatkan lesen seperti diperuntukkan dalam perenggan 5(1) Undang-Undang Kecil Iklan WPKL 1982,” katanya hari ini.
DBKL turut memaklumkan bahawa setiap permohonan lesen papan tanda memerlukan pengesahan visual daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai dokumen wajib sebelum diluluskan.
Menurut kenyataan itu, undang-undang mengkehendaki semua iklan dipaparkan dalam bahasa kebangsaan dengan bahasa lain hanya sebagai tambahan.
“Huruf bagi perkataan dalam bahasa kebangsaan hendaklah diberi keutamaan dan bersaiz lebih besar berbanding tulisan dalam bahasa lain,” katanya lagi.
DBKL turut berkata, nama syarikat, persatuan atau firma yang didaftarkan di bawah undang-undang seperti Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, tidak perlu diterjemahkan ke bahasa kebangsaan jika ia bukan dalam bahasa Melayu.
Sejak awal tahun, DBKL bersama DBP telah menjalankan operasi di enam lokasi pusat beli-belah di ibu kota, mengeluarkan 31 notis kesalahan terhadap premis yang melanggar peraturan.
“Kesalahan melibatkan premis yang memiliki lesen perniagaan tetapi tidak mempunyai kelulusan lesen iklan papan tanda, serta iklan yang melanggar syarat, termasuk keutamaan saiz tulisan bahasa kebangsaan,” katanya lagi.
Premis yang gagal mematuhi peraturan akan dikenakan kompaun dan tindakan menurunkan papan tanda juga boleh dilakukan oleh DBKL.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing menyatakan, rasa tidak puas hati terhadap tindakan DBKL tersebut.
King Sing mendakwa penguatkuasaan itu menimbulkan persepsi negatif terhadap Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan keterbukaan kepada pelancong.
“Tindakan DBKL mencetuskan reaksi melampaui batas dalam kalangan masyarakat, termasuk pelancong yang mempertikaikan pendekatan itu,” katanya pada satu hantaran di laman Facebook semalam.
Terdahulu, DBKL melancarkan operasi berskala besar menyasarkan papan tanda yang tidak memaparkan bahasa Melayu di beberapa kawasan seperti Segambut, Pudu dan Jalan Silang.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |