DBKL gempur pusat pelacuran di ibu kota
KUALA LUMPUR — Empat premis yang disyaki beroperasi sebagai pusat pelacuran digempur oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di daerah Petaling dan Parlimen Bukit Bintang, di sini, baru-baru ini.
Tindakan penguatkuasaan tersebut dijalankan hasil pemantauan berterusan oleh pasukan penguat kuasa DBKL selama beberapa hari di sekitar lokasi terlibat.
“Premis-premis tersebut ditutup serta-merta di bawah peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976, manakala struktur dalaman yang diubah suai menjadi bilik khas turut dirobohkan,” menurut kenyataan rasmi DBKL.
Dalam operasi yang sama, sebanyak empat notis tawaran kompaun turut dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016.
DBKL turut menyita pelbagai barangan yang berkait dengan aktiviti pelacuran.
“Kesemua barangan yang disita telah dibawa ke Setor Sitaan DBKL di Jalan Lombong, Taman Miharja, Cheras bagi tujuan dokumentasi dan tindakan lanjut,” jelasnya lagi.
Menurut jurucakap DBKL, tindakan penguatkuasaan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa tempatan dalam mengekang kewujudan aktiviti haram di ibu negara.
“DBKL akan terus mempergiatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan Kuala Lumpur bebas daripada kegiatan tidak bermoral,” katanya.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti seumpama ini digalakkan untuk membuat aduan melalui saluran rasmi DBKL di https://adukl.dbkl.gov.my/.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






