BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Dasar Pendigitalan Data diperinci Julai ini – Gobind

PUTRAJAYA – Dasar Pendigitalan Data Negara dijangka siap selewat-lewatnya bulan depan bagi menyokong pelaksanaan Akta Perkongsian Data 2025 (Akta 864).

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, dasar yang sedang diperincikan oleh Jabatan Digital Negara (JDN) itu menekankan aspek tadbir urus data, etika keselamatan dan pembudayaan digital dalam perkhidmatan kerajaan.

“Saya telah beri tempoh tiga bulan kepada JDN. Jika bukan bulan ini, saya harap dapat bentang dasar ini kepada Jemaah Menteri pada Julai,” katanya selepas Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Perkongsian Data Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Penyerahan buku Akta 864 kepada Jawatankuasa Perkongsian Data negara.

Menurutnya, dasar itu penting bagi memastikan data negara dalam bentuk digital dapat dimanfaatkan secara optimum khususnya melalui teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).

“Kita masih banyak data berbentuk analog seperti gambar, audio dan dokumen fizikal, semua ini perlu didigitalkan terlebih dahulu,” katanya.

Gobind berkata, selepas penguatkuasaan Akta 864 pada 28 April lalu, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Perkongsian Data Negara bagi menyelaras pelaksanaan transformasi digital di peringkat persekutuan.

Beliau turut memaklumkan penyertaan akan diperluaskan kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan dasar yang dirangka inklusif.

“Kerajaan negeri perlu gubal undang-undang selari dengan Akta 864. Ketua Menteri Pulau Pinang, Menteri Besar Selangor dan Premier Sarawak sudah nyatakan kesediaan.

“Saya akan ke negeri-negeri lain untuk bincang secara langsung,” katanya.

Tambahnya, jawatankuasa kecil turut ditubuhkan bagi mengenal pasti kawasan keutamaan pendigitalan data di kementerian dan sektor tertentu.

“Kita mahu fokus kepada bidang paling kritikal dahulu supaya pelaksanaan lebih berkesan dan pantas,” jelasnya.

Mengulas perkembangan AI, Gobind menegaskan penubuhan Pejabat AI Negara bagi merangka hala tuju pembangunan ekosistem AI tempatan.

“Kita tidak mahu hanya menjadi pengikut, di sektor-sektor tertentu kita sudah ada aset dan kepakaran untuk memimpin.

“Di tempat lain, kita perlu kerjasama dan sokongan teknologi dari luar bagi membina ekosistem yang kukuh,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button