
Dasar kerajaan jamin hak orang Melayu, tegas Anwar
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kebimbangan masyarakat Melayu terhadap dasar kerajaan yang bersifat inklusif dan bertoleransi kepada semua kaum tidak berasas, kerana kerajaan tetap menjamin kedudukan dan hak orang Melayu.
Beliau berkata, kedudukan Raja-Raja Melayu, hak keistimewaan orang Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, akan terus dipertahankan tanpa kompromi.
“Kerajaan dan saya bersama rakan-rakan gabungan telah menjelaskan bahawa Perlembagaan menjamin semua itu.
“Sebagai contoh, ketika mengambil alih projek Bandar Malaysia daripada entiti asing, kami menetapkan tanah seluas 50 ekar sebagai rizab Melayu sesuatu yang belum pernah dilakukan sejak negara merdeka,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan Persatuan Alumni Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCOBA) di sini.
Menurut Anwar, langkah seperti itu mencerminkan kesungguhan kerajaan memastikan keadilan untuk semua rakyat Malaysia, tanpa menjejaskan hak orang Melayu.
Beliau turut menolak sebarang bentuk diskriminasi dalam pelaksanaan dasar tindakan afirmatif.
Namun, Anwar mengakui dasar seperti dasar Bumiputera sebelum ini telah dicemari unsur nepotisme, yang menguntungkan segelintir pihak tetapi mengabaikan keperluan masyarakat Melayu secara keseluruhan.
“Dasar itu pernah disalah guna untuk kepentingan peribadi sehingga meminggirkan golongan yang benar-benar memerlukan.
“Saya menyokong tindakan afirmatif yang lebih moden, telus dan inklusif supaya manfaatnya dapat diagihkan secara adil kepada semua, termasuk golongan miskin bandar dan masyarakat luar bandar,” katanya lagi.
Beliau menegaskan, prinsip keterangkuman dan ketelusan adalah kunci kejayaan mana-mana dasar ekonomi, sambil memastikan hak majoriti rakyat, termasuk orang Melayu terus dilindungi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |