BERITA SEMASADALAM NEGERI

Dasar J-QAF: Legasi Pendidikan Islam terbesar Tun Abdullah

KUALA LUMPUR – Antara jasa terbesar bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ialah memperkenalkan Dasar J-QAF di sekolah rendah bagi memastikan generasi muda celik al-Quran dan mampu mengkhatamkannya sebelum tamat Tahun Enam.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, idea pelaksanaan J-QAF tercetus selepas Perhimpunan Agung UMNO 2004 apabila satu dapatan mengejutkan daripada Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mendedahkan ramai remaja yang masih tidak mampu membaca al-Quran.

Asyraf Wajdi memberitahu Pak Lah merupakan insan penting dalam memperkenalkan pelaksanaan J-Qaf dalam pendidikan arus perdana.

“Pak Lah mengambil serius usul agama ketika itu dan mengarahkan pelaksanaan segera satu program khas dinamakan J-QAF iaitu singkatan kepada Jawi, al-Quran, Arab dan Fardu Ain bagi dimasukkan ke dalam sistem pendidikan arus perdana,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut beliau, matlamat utama program itu adalah bagi memastikan kanak-kanak sekolah rendah diajar membaca al-Quran secara sistematik dan diwajibkan khatam sebelum tamat persekolahan rendah.

Bermakna pengajian Al-Quran secara sistematik diajar sebagai satu program khas dalam arus pendidikan perdana negara.

“Waktu itu seramai lebih 40 ribu graduan-graduan pengajian agama, bahasa Arab dari universiti-universiti dalam dan luar negara termasuk Mesir, Jordan, Madinah, Yaman dan lain-lain diambil sebagai guru.

“Mereka diambil tanpa perlu melalui proses biasa seperti mempunyai sijil atau diploma pendidikan bagi mempercepatkan pelaksanaan program.

“Moga-moga jasa dan sumbangan besar Pak Lah akan menjadi asbab pahala jariah berpanjangan dan menempatkan Almarhum di kalangan para muttaqin. Al-Fatihah,” tulisnya.

Almarhum Tun Abdullah yang dikenang sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan meninggal dunia sekitar pukul 7.10 petang semalam di Institut Jantung Negara pada usia 86 tahun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button