BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

CSR: Dania Garage agih 1,000 botol minyak hitam percuma, ringankan beban mahasiswa

SERDANG – Program Infaq 1,000 Botol Minyak Hitam anjuran Dania Garage mendapat sambutan luar biasa apabila ratusan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) membanjiri lokasi agihan bagi mendapatkan sumbangan percuma itu.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Dania Garage, Mohammad Muizz Mohd Munawir, program itu merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang disasarkan kepada golongan pelajar yang mungkin berdepan kekangan kewangan.

Melibatkan kerjasama bersama Petronas Sprinta dan pasukan teknikal Abang Minyak Hitam Jalanan, Muizz berkata, program tersebut menyaksikan lebih 1,000 botol minyak hitam diagihkan kepada para pelajar.

“Saya sendiri pernah menjadi pelajar, jadi saya faham tidak semua mampu menampung kos penyelenggaraan. Inisiatif ini adalah salah satu cara kami bantu mereka, walaupun sedikit,” katanya ketika ditemui di tapak program di UPM semalam.

Daripada jumlah keseluruhan, 65 penerima terawal menerima khidmat pemasangan minyak hitam secara percuma, dijalankan oleh Abang Minyak Hitam Jalanan, manakala selebihnya menerima sumbangan minyak hitam untuk dibawa pulang.

Muizz berkata, UPM dipilih sebagai lokasi pertama pelaksanaan program selepas menunjukkan minat awal sejak program ini diumumkan.

“Respon dari UPM sangat cepat dan positif. Jadi kami mulakan di sini. Jika ada permintaan dan kerjasama dari universiti atau agensi lain, kami terbuka untuk meluaskan program ini ke seluruh negara,” jelasnya.

minyak hitam
Ketua Pegawai Operasi Danial Garage, Mohammad Muizz Mohd Munawir.

Menurut beliau, walaupun Petronas tidak menaja dari segi kewangan, namun sokongan moral, perancangan dan jenama yang diberikan oleh Petronas Sprinta membantu melancarkan pelaksanaan program.

Beliau turut memaklumkan bahawa ini adalah program infaq kedua dianjurkan Dania Garage selepas pelaksanaan pertama dua tahun lalu.

“Kami tak terlalu kira jumlah kos. Yang penting, niat kami untuk bantu. Prinsip kami mudah kalau kita bantu orang, rezeki akan datang dengan sendiri,” katanya.

Baca tugasan : Attana laksana CSR bantu agih makanan kepada 250 gelandangan di Chow Kit

Sementara itu, Muizz turut berharap program seperti ini dapat dicontohi oleh lebih ramai peniaga dan pengusaha tempatan sebagai sebahagian daripada amalan CSR yang membawa nilai tambah kepada masyarakat.

“Saya berniaga dengan semangat Cina, tapi bekerja dengan nilai Melayu dan Islam. Berniaga bukan semata-mata soal keuntungan, tetapi bagaimana kita boleh memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Abang Minyak Hitam Jalanan, Mohd Yusof Mohd Noor, berharap kerjasama strategik antara pihaknya dan Danial Garage dapat diteruskan bagi memastikan lebih ramai golongan menerima manfaat.

“Kami di Minyak Hitam Jalanan sedia membantu dan harapan kami agar program seperti ini tidak terhenti di sini, dan diteruskan lagi di masa akan datang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button