BERITA SEMASADALAM NEGERI

Dana 1MDB sudah dipulangkan melebihi RM1 bilion

KUALA LUMPUR – Kerajaan menerima pemulangan dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah lebih daripada RM1 bilion, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, proses pemulangan aset dan dana 1MDB itu masih giat dilakukan terutama di Switzerland dan London di bawah jawatankuasa yang dipertanggungjawabkan.

“1MDB pada peringkat akhir, masih ada kemasukan (pemulangan Dana) baru-baru ini. Saya tak dapat teka berapa jumlahnya, tetapi mencecah RM1 bilion tambahan.

“Proses diteruskan di Switzerland, London dan ada jawatankuasa dipertanggungjawabkan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menjawab soalan tambahan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Bebas-Tanjong Karang) berhubung dana 1MDB yang sudah dikembalikan dan dimasukkan ke dalam akaun pemulihan aset negara.

Sebelum ini, laporan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat mendakwa lebih US$4.5 bilion (sekitar RM20 bilion) diseleweng daripada 1MDB melalui rangkaian transaksi kompleks melibatkan akaun luar pesisir dan individu berprofil tinggi.

Antara aset yang dirampas dan dipulangkan semula kepada kerajaan Malaysia sebelum ini termasuk wang tunai, harta mewah, kapal layar, pesawat peribadi serta hasil jualan barangan seni dan hartanah di luar negara.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button