Berita Semasa

Dakwaan projek pembangunan tiada kelulusan tidak tepat – Datuk Bandar Subang Jaya

SUBANG JAYA – Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim menegaskan bahawa projek pembangunan berhampiran lokasi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights mempunyai kelulusan yang sah.

Menurut beliau, projek tersebut bukan berada dalam Rizab Laluan (ROW) Petronas dan telah diberikan kelulusan serta kebenaran merancang pada tahun 2022.

Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim

“Projek tersebut telah melalui proses kelulusan yang sewajarnya, termasuk mendapatkan kebenaran daripada pihak Petronas untuk menggunakan ROW bagi laluan Indah Water Konsortium (IWK).

“Selain itu, kontraktor yang terlibat juga merupakan panel yang diluluskan oleh IWK dan Petronas,” katanya memetik laporan Kosmo! hari ini.

Mengulas dakwaan yang tersebar di media sosial berhubung projek tersebut, Amirul Azizan berkata pihaknya tidak dapat memberikan sebarang respons rasmi berikutan siasatan terperinci masih dijalankan oleh Petronas, polis dan pihak berkuasa berkaitan.

“Buat masa ini, apa yang tersebar di media sosial bukanlah kenyataan rasmi. Kita perlu menunggu hasil siasatan untuk mengetahui punca sebenar kebakaran dan letupan tersebut,” jelasnya.

Amirul Azizan turut mengakui bahawa projek tersebut sepatutnya siap pada Disember tahun lalu, namun mengalami sedikit kelewatan kerana masih dalam proses mendapatkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

“Saya tidak pasti punca sebenar kelewatan ini kerana ia di luar bidang kuasa saya. Mungkin melibatkan faktor kewangan atau lain-lain, tetapi apa yang pasti semua kelulusan telah diperoleh mengikut prosedur yang ditetapkan,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa berdasarkan pemeriksaan pihaknya, projek tersebut mematuhi segala syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button