Berita Semasa

Dakwaan buli di asrama, polis akan rakam percakapan pihak terlibat

KUALA LUMPUR – Pihak polis akan merakam percakapan semua pihak termasuk ibu bapa, rakan dan pihak sekolah berhubung dakwaan seorang pelajar melarikan diri dari sebuah asrama di Cheras baru-baru ini, akibat dibuli berulang kali.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya menerima laporan dari keluarga mangsa, tengah hari semalam.

“Kita akan panggil semua untuk bantu siasatan, baik pihak sekolah, ibu bapa dan rakan-rakannya.

“Kita kelaskan kes ini di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan akan dijalankan oleh D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur,” kata Allaudeen selepas majlis perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan pelajar tersebut ditemui dalam keadaan lemah oleh ibu bapanya dan guru sekolah di Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak, pada 8 Disember lalu.

Sebelum itu, pelajar berusia 14 tahun itu dilaporkan hilang dari asrama.

Difahamkan, keadaan pelajar itu masih semakin baik, tetapi masih trauma, dan masih menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM sejak 9 Disember lalu.

Susulan kejadian, ibu mangsa berkata, pihaknya akan mengambil tindakan perundangan berhubung kejadian buli itu yang didakwanya sudah berulang kali terjadi.

Katanya, tindakan sedemikian perlu dilakukan bagi memperjuangkan nasib anaknya kerana dibuli dengan teruk.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button