BERITA SEMASA

Dakwa azan tidak dibenarkan: Seorang lelaki disiasat MCMC

CYBERJAYA – Seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kerana disyaki memuat naik kandungan palsu berunsur 3R yang menyentuh sensitiviti agama.

Menurut MCMC dalam satu kenyataan, kandungan berkenaan dipercayai dimuat naik menerusi laman aplikasi Facebook miliknya pada 9 Mac lalu yang mendakwa laungan azan melalui pembesar suara di Masjid Ayer Kuning tidak lagi dibenarkan ketika ini.

“Sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut telah dijalankan di Balai Polis Taiping semalam. Sebuah telefon bimbit serta satu sim kad telah disita bagi tujuan analisis forensik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, katanya, pasukan Penguatkuasa MCMC telah menyerahkan satu notis kehadiran di bawah seksyen 255 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kepada individu terbabit bagi menghadiri sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 233 (1)(a) Akta 588 dan jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“MCMC ingin menasihatkan kepada orang ramai agar menggunakan platform media sosial dengan penuh tanggungjawab serta berhemah dan tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang kandungan berunsur 3R yang boleh mengancam keharmonian kaum dan agama di negara ini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button