BERITA SEMASADALAM NEGERI

Lelaki guna pancing turunkan dahan pokok mati di JRTB

GERIK – “Saya tengok dah lama tergantung… kalau jatuh, memang boleh makan nyawa!” itu luahan Mohd Amir Faizal, seorang aktivis keselamatan jalan raya di sekitar daerah ini dalam hantaran video terbaharunya.

Selepas aduannya mengenai bahaya dahan pokok mati yang tergantung di laluan utama Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, berhampiran Pos Orang Asli Air Banun tidak dihiraukan, dia akhirnya bertindak sendiri.

Amir berjaya menurunkan dahan pokok berkenaan dengan menariknya menggunakan tali yang baling menggunakan alat pancing dan batu ladung.

“Saya guna joran dan batu ladung untuk pancing tali ke atas dahan tu… sebab kalau guna lastik, tak sampai. Tinggi sangat, lebih 40 kaki,” katanya yang turut dibantu anaknya sepanjang operasi.

Menurutnya, kerja-kerja dilakukan dengan penuh berhati-hati, termasuk memasang isyarat kecemasan bagi memberi amaran kepada pemandu lain.

“Saya buat di laluan lurus, supaya orang boleh nampak dari jauh. Ramai juga bagi lampu tinggi tanda sokongan atau nak beritahu kereta lain supaya berhati-hati,” jelasnya.

Kisah Amir mendapat pujian netizen, yang menyifatkan beliau sebagai warganegara prihatin dan sanggup turun padang demi keselamatan bersama.

“Kalau dahan tu jatuh atas kereta, memang boleh remuk. Silap-silap boleh jadi tragedi,” tambahnya yang sebelum ini pernah beberapa kali tular di media sosial kerana membantu pengguna jalan raya di laluan itu.

Laluan JRTB merupakan antara jalan utama menghubungkan Gerik ke Jeli, dan sering dilalui oleh pelancong serta pemandu kenderaan berat.

Tindakan berani Amir ini membuktikan bahawa keselamatan jalan raya bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa, tetapi juga masyarakat yang cakna dan berani bertindak bila perlu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button