BERITA SEMASA

Dadah dalam tepung, Gaza desak siasatan antarabangsa

GAZA – Pihak berkuasa di Gaza menggesa siasatan antarabangsa dijalankan susulan penemuan pil Opioid jenis Oxycodone yang dipercayai dimasukkan ke dalam bungkusan tepung bantuan kendalian organisasi berpengkalan di Amerika Syarikat dan Israel, Gaza Humanitarian Foundation (GHF).

Menurut kenyataan pejabat media kerajaan Gaza, sekurang-kurangnya empat penduduk tempatan melaporkan menemukan pil tersebut dalam bungkusan makanan yang diedarkan oleh pusat bantuan berkenaan.

Beberapa saksi turut mendakwa bahan narkotik itu sama ada telah dihancurkan atau dicampur terus ke dalam tepung, menimbulkan kebimbangan serius terhadap kesihatan dan keselamatan penduduk.

Oxycodone merupakan ubat penahan sakit kuat yang lazim digunakan dalam rawatan pesakit kanser, namun turut dikenali sebagai bahan sangat ketagihan yang boleh menyebabkan kesan sampingan serius termasuk halusinasi serta gangguan pernafasan.

Ahli farmasi tempatan, Omar Hamad, menyifatkan penemuan itu sebagai “bentuk paling keji pembunuhan beramai-ramai”, manakala seorang doktor Gaza, Dr Khalil Mazen Abu Nada, menyifatkan ia sebagai “alat untuk menghancurkan kesedaran masyarakat kami”.

Pihak berkuasa Gaza mendakwa Israel telah menyalahgunakan operasi bantuan kemanusiaan dan sekatan ketat yang dikenakan ke atas wilayah itu sebagai saluran untuk menyeludup bahan terlarang ke dalam Gaza.

Mereka turut menyifatkan GHF sebagai “perangkap maut” yang memudaratkan masyarakat awam di bawah nama bantuan kemanusiaan.

Susulan itu, kerajaan Gaza menuntut agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan hak asasi antarabangsa segera menjalankan siasatan bebas dan menyeluruh terhadap insiden ini.

GHF sebelum ini pernah dikritik oleh lebih 15 organisasi hak asasi dan undang-undang atas dakwaan terlibat dalam pemindahan paksa penduduk Palestin serta mengganggu operasi bantuan kemanusiaan antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button