
Cuti kakitangan bomba dan dua agensi KPKT dibekukan
KUALA LUMPUR – Cuti kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta dua agensi di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang terlibat dalam operasi pengurusan banjir dibekukan berkuat kuasa serta-merta susulan situasi banjir yang semakin kritikal.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pembekuan itu turut melibatkan kakitangan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara.
“Saya dimaklumkan bahawa jumlah mangsa banjir kini melebihi 75,000 orang melibatkan lebih 24,000 keluarga. Malangnya, banjir kali ini telah meragut empat nyawa,” katanya pada Majlis Malam Penghargaan Media KPKT, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, keputusan itu diambil bagi memastikan semua pihak bersedia sepenuhnya untuk menghadapi bencana ini.
“Semua kakitangan JBPM, SWCorp dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara diminta bertugas tanpa cuti bagi membantu usaha menyelamat dan menangani banjir yang kini menjejaskan lapan negeri,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad yang turut hadir pada majlis itu berkata, pihaknya telah merancang pembekuan cuti untuk semua pegawai dan anggota di lima negeri jika berlaku situasi banjir kritikal pada akhir November dan pertengahan Disember.
“Langkah itu melibatkan kira-kira 6,000 kakitangan di Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor dan Sarawak,” katanya.
Setakat ini, usaha bersepadu antara agensi-agensi terlibat diteruskan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa banjir diberi keutamaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








