BERITA SEMASADALAM NEGERI

Cuti bertukar duka, pelajar UniSZA lemas di Lata Changkah

BANDAR PERMAISURI – Seorang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ditemukan lemas manakala lima rakannya berjaya diselamatkan dalam insiden di kawasan rekreasi Lata Changkah, petang semalam.

Mangsa, Wan Ahmad Irfan Wan Abdullah Thani, 24, penuntut Fakulti Undang-Undang difahamkan pertama kali mengunjungi lokasi tersebut bersama tujuh rakan sempena cuti umum.

Menurut rakannya, Muhammad Hady Izzudyn Ikmal Hisam, 23, kejadian berlaku ketika mereka sedang mandi di bahagian tengah lata tersebut.

“Saya naik ke darat untuk berehat dan minum, manakala mereka berenang semakin ke tengah walaupun tak pandai berenang. Tak lama lepas itu saya nampak mereka mula terkapai-kapai.

“Saya terus terjun semula bersama bantuan orang awam, kami berjaya tarik lima orang naik ke darat. Tapi Irfan hilang dari pandangan dan gagal diselamatkan,” katanya .

Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Zuraidi Mohd Yusuf berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.42 petang.

“Sepasukan 10 anggota digerakkan ke lokasi dan operasi mencari serta menyelamat (SAR) dilancarkan pada pukul 4 petang. Mayat mangsa ditemukan kira-kira 28 minit kemudian pada kedalaman 4.5 meter,” jelasnya.

Tambah beliau, lima mangsa yang hampir lemas dihantar ke Hospital Setiu untuk rawatan lanjut, manakala mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Keadaan cuaca semasa kejadian kelihatan baik namun kekeruhan air mungkin berpunca daripada hujan di kawasan hulu.

“Orang ramai diingatkan untuk lebih berhati-hati dan mengambil kira faktor keselamatan sebelum melakukan aktiviti air,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button