
Cuepacs, UMNO mahu pencen ahli politik dimansuhkan terlebih dahulu
KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyarankan kerajaan supaya mengkaji semula saraan wang pencen kepada wakil rakyat.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, sekiranya kerajaan berdepan dengan masalah kewangan, golongan yang terlebih dahulu pencen dimansuhkan adalah dalam kalangan ahli politik.
Beliau berkata, langkah itu lebih logik kerana ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hanya berkhidmat selama lima tahun berbanding penjawat awam selama 30 tahun.
Bahkan katanya, wakil rakyat telah menerima b ayaran elaun yang cukup tinggi semasa perkhidmatan mereka.
“Keutamaan kepada kerajaan ketika ini adalah mengkaji bagi kes-kes yang berkhidmat waktu singkat tetapi menikmati faedah saraan yang agak selesa dan bukannya menyasarkan kepada penjawat awam sahaja.
“Dengan skim gaji yang masih rendah dalam perkhidmatan awam ketika ini, skim caruman KWSP dilihat tidak membantu penjawat awam mempunyai simpanan hari tua yang baik selepas persaraan kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam mengumumkan Kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam bermula Februari ini berstatus tetap tetapi tidak berpencen.
Dalam kenyataan lain, Pergerakan Pemuda UMNO turut menyuarakan pendapat yang sama iaitu dengan memansuhkan bayaran pencen kepada wakil rakyat sebelum pelaksanaannya kepada penjawat awam.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, tindakan itu sekiranya dilaksanakan jelas menunjukkan langkah yang tidak adil walaupun hanya melibatkan penjawat awam yang baharu.
Tegasnya, atas prinsip kepimpinan melalui teladan, perkara itu perlu dilakukan ke atas wakil rakyat terlebih dahulu kerana kerajaan berbelanja lebih besar untuk mereka.
“Kita memahami tekanan kewangan yang sedang ditanggung oleh kerajaan ketika ini.
“Tetapi biarlah pemansuhan skim pencen ini dimulakan oleh wakil-wakil rakyat terlebih dahulu. Tidak adil jika kita mansuhkan pencen mereka tetapi kita pula menikmati pencen sehingga mati,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |