
Cuepacs sokong titah Agong penjawat awam kekal profesional, berkecuali
KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyatakan sokongan penuh terhadap titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim supaya penjawat awam kekal profesional dan tidak terlibat dengan mana-mana pengaruh politik.
Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, titah Seri Paduka itu amat bertepatan dengan prinsip perkhidmatan awam yang menuntut penjawat awam terus menjalankan tugas secara amanah, jujur serta mengekalkan integriti sepanjang masa.
“Penjawat awam perlu terus mengutamakan kepentingan rakyat dan negara serta tidak terlibat dalam mana-mana gerakan politik yang boleh menjejaskan imej serta prestasi jabatan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Adnan, Cuepacs percaya penjawat awam di semua peringkat mampu melaksanakan amanah yang diberikan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak berkepentingan, termasuk ahli politik.
Dalam pada itu, beliau turut membantah cadangan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau kecenderungan politik dalam kalangan penjawat awam.
“Penjawat awam sudah pun mengangkat sumpah untuk setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan yang memerintah. Mereka komited dan profesional dalam menjalankan tanggungjawab,” katanya lagi.
Cuepacs turut berkata, pelantikan ke jawatan tertinggi dalam perkhidmatan awam perlulah berdasarkan merit, kelayakan dan kompetensi, bukan atas dasar hubungan politik atau pilih kasih.
Jelasnya, jika pelantikan dibuat berdasarkan kecenderungan politik, ia akan merencatkan kecekapan sistem penyampaian kerajaan dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan awam.
Sehubungan itu, Cuepacs berharap semua penjawat awam dapat terus berpegang kepada prinsip berkecuali dan profesionalisme sejajar dengan amanah yang dipikul demi kesejahteraan rakyat serta kestabilan negara.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |