BERITA SEMASA

CUEPACS bantah benar pelajar asing isi kekurangan tenaga kerja mahir

PUTRAJAYA – CUEPACS membantah sebarang cadangan mahu membenarkan pelajar asing termasuk mereka yang menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan bekerja di Malaysia bagi menampung kekurangan tenaga kerja mahir.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, dasar untuk membenarkan pelajar asing bekerja di Malaysia itu bukan sahaja menidakkan peluang rakyat tempatan bahkan merugikan negara yang telah melakukan pelaburan tinggi melalui institusi pengajian tinggi tempatan.

“Tindakan membenarkan pelajar asing untuk mengisi peluang pekerjaan di sektor teknologi tinggi di Malaysia ibarat kata pepatah “kera di hutan disusukan, anak di rumah kelaparan”.

“Ia juga sebagai satu langkah ke belakang sekiranya dasar ini hendak dilaksanakan oleh kerajaan. Sedangkan kita sedang berusaha untuk melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan pasaran,” katanya.

Tambahnya, adalah tidak adil sekiranya dibenarkan pelajar asing untuk menerokai peluang pekerjaan yang sebenarnya boleh diisi oleh rakyat tempatan sendiri.

Katanya, cadangan tersebut boleh mengakibatkan graduan tempatan menerima gaji yang lebih rendah selain meningkatkan kadar pengangguran rakyat tempatan pada masa hadapan.

“Permasalahan utama yang berlaku ketika ini adalah ramai pekerja mahir tempatan yang berhijrah ke luar negara dan bekerja di sana kerana ditawarkan skim gaji yang lebih munasabah dan berbaloi.

“Majikan tempatan lebih sanggup membayar gaji yang tinggi kepada pekera asing sedangkan kualiti pekerja tempatan adalah lebih baik. Berlakunya pilih kasih atau ‘double standard’ dalam isu upah kerana ini mengakibatkan ramai rakyat Malaysia memilih untuk berhijrah ke luar negara daripada berkhidmat di tanah air sendiri.

“Ada majikan sanggup bayar sehingga RM4,000 sebulan kepada pekerja mahir asing tetapi untuk pekerja mahir tempatan mereka tawarkan gaji permulaan dibawah RM2,000,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau menggesa kerajaan perlu menguatkuasakan gaji minimum yang lebih berbaloi kepada pekerja bekemahiran tinggi tempatan bagi menyokong dasar-dasar pembangunan sumber manusia yang dilaksanakan oleh institusi pengajian tinggi tempatan.

“CUEPACS berpandangan melalui data-data yang dikumpulkan menerusi PADU kelak boleh dijadikan sebagai sandaran kepada kerajaan untuk menganalisis keupayaan sumber tenaga negara yang mampan dan kadar upah yang bersesuaian untuk dikecapi oleh rakyat Malaysia di masa hadapan.

“Kita berharap agar kerajaan ada kekuatan dalam merencanakan masa hadapan yang lebih kukuh dan padu dalam menentukan pembangunan negara, bukan sahaja dari aspek kemajuan ekonomi dan teknologi, kemajuan pembangunan dan industri malah perlu memastikan supaya kemajuan dari segi kemahiran tenaga kerja yang telah dibangunkan dapat memenuhi pasaran tenaga kerja di negara ini,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button