BERITA SEMASA

Cubaan seludup 125,000 liter diesel gagal, tiga lelaki ditahan di Bukit Kayu Hitam

BUKIT KAYU HITAM – Cubaan tiga lelaki untuk menyeludup 125,000 liter minyak diesel ke Thailand digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Kuala Kedah dalam satu operasi di sebuah premis di sini, semalam.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Che Ari berkata, operasi pada pukul 9.30 pagi itu dijalankan hasil maklumat awam.

“Tiga lelaki yang ditahan terdiri daripada seorang rakyat tempatan dan dua warga Thailand, berusia antara 39 hingga 51 tahun.

“Mereka dikesan memindahkan minyak diesel dari tangki simpanan (skid tank) ke dua kenderaan pacuan empat roda berdaftar Thailand secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Tambah beliau, kesemua suspek gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan aktiviti berkenaan.

Antara barangan yang dirampas termasuk 125,000 liter diesel, dua kenderaan pacuan empat roda, tujuh unit skid tank serta sebuah pam minyak bermeter.

Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM801,750.

Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button