Cuba masuk secara ‘setting’, 26 warga Bangladesh dihalau pulang
KUALA LUMPUR — Cubaan sekumpulan 26 warga Bangladesh untuk memasuki negara ini secara ‘setting’ atau disusun oleh pihak tertentu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) berjaya digagalkan, semalam.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam satu kenyataan hari ini berkata, percubaan itu dikesan hasil maklumat risikan awal yang mendapati kumpulan terbabit menggunakan dua penerbangan dari Dhaka.
Menurut kenyataan itu, laluan kemasukan mereka dipercayai telah disusun secara terancang dengan bantuan pihak tertentu bagi mengaburi kawalan keselamatan di pintu masuk negara.
“Sebaik tiba di pintu ketibaan antarabangsa KLIA1, kesemua mereka dipintas oleh Pasukan Pemantau AKPS sebaik sahaja keluar dari pesawat dan terus diiring ke Pejabat Operasi AKPS KLIA1 untuk semakan lanjut,” katanya.
Katanya, hasil siasatan mendapati kesemua individu terbabit tidak memenuhi syarat kemasukan ke Malaysia dan memberikan alasan yang meragukan kepada pihak berkuasa.
“Pihak AKPS bertindak pantas dengan mengeluarkan arahan supaya semua mereka dihantar pulang ke negara asal melalui penerbangan seterusnya,” katanya.
Menurut AKPS, kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat antara Unit Risikan dan Pasukan Pemantau AKPS KLIA1 dalam mengekang kemasukan pelawat berisiko tinggi yang berpotensi mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
“Tindakan tegas seperti itu akan diteruskan sebagai sebahagian komitmen memperkukuh kawalan sempadan negara khususnya di pintu masuk utama seperti KLIA,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








