Berita Semasa

Covid-19 catat 20,696 kes, KKM harap dapat kawal penularan tanpa perlu PKP

PUTRAJAYA – Tiada perancangan untuk memperkenalkan semula sebarang sekatan atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), biarpun ada peningkatan jumlah kes Covid-19 dicatatkan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Kata beliau, buat masa ini KKM mengambil pendekatan memperkukuhkan pelan pengurusan Covid-19 melalui lima strategi utama – pemerkasaan awal; pemerkasaan komuniti melalui TRIIS; pemantauan fasiliti kesihatan; komunikasi risiko berkesan; dan pendigital sistem kesihatan melalui MySejahtera.

Tambah Ahli Parlimen Kuala Selangor itu, buat masa ini tiada varian baharu dikesan melainkan penularan varian sedia ada iaitu Omicron, dan sub kepada varian Omicron.

“Malaysia (memang) sedang menghadapi peningkatan kes yang mendadak, dan KKM harap situasi ini dapat dilalui tanpa perlu kita ulangi sekatan seperti PKP yang berlaku pada awal pandemik Covid-19.

“Tidak mengulangi PKP kerana ada yang bertanya dalam ciapan laman X, apakah banyak kegusaran di situ, jadi saya jelaskan, tanpa perlu mengulangi sekatan seperti PKP,” katanya dalam satu sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Mengulas mengenai situasi terkini Covid-19 di negara ini, Dzulkefly berkata, sebanyak 20,696 kes baharu direkodkan bagi minggu epidemiologi (ME) ke-50 iaitu dari 10 Disember hingga 16 Disember.

Kata beliau, ia adalah peningkatan sebanyak 62.2 peratus berbanding dengan jumlah kes yang dilaporkan pada ME ke-49 iaitu pada 9 hingga 15 Disember lalu.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 151 kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 96 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Kes kematian sebanyak 28 kes dengan kadar kematian 0.1 peratus. Kematian tertinggi adalah di kalangan kes yang berumur 60 tahun ke atas iaitu sebanyak 85 peratus manakala yang mempunyai komorbiditi 93 peratus.

“Secara keseluruhan, walaupun terdapat peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan, keadaan semasa di Malaysia masih dalam keadaan terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada,” katanya.

Sehubungan dengan itu, sebagai langkah pencegahan, KKM menyarankan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti berikut:

1. Elakkan 3S: Elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat.

2. Amalkan 3W: Amalkan Wash, Wear dan Warn.

3. Sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup. Pemakaian pelitup muka adalah amat digalakkan

4. Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun
atau pensanitasi

5. Bagi yang bergejala, digalakkan melakukan penilaian kendiri tahap kesihatan serta dinasihatkan agar tidak hadir ke mana-mana kawasan yang sesak dan menjadi tumpuan ramai.

6. Segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan bagi mendapatkan rawatan lanjut sekiranya gejala bertambah teruk

7. Menggalakkan pengambilan vaksin Covid-19 dos tambahan terutama kepada golongan yang berisiko tinggi.

8. Dapatkan rawatan antiviral Paxlovid di Klinik Kesihatan atau pengamal perubatan swasta terdekat bagi individu positif Covid-19 dan berisiko tinggi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button