BERITA SEMASA

Cinta zaman sekolah bertaut selepas lebih 50 tahun, warga emas diijab kabul

REMBAU – Benarlah jodoh itu rahsia Tuhan. Itu yang berlaku pada pasangan warga emas, Prof. Datuk Dr. Md Sham Kassim, 81, dan Azizah Alias, 77, apabila mereka disatukan dalam ikatan perkahwinan selepas lebih lima dekad terpisah.

Majlis akad nikah Md Sham dan Azizah diadakan penuh ringkas tapi bermakna di Kampung Lada Tanah Datar, di sini baru-baru ini.

Bagi Azizah, itu adalah perkahwinan pertamanya dengan lelaki yang pernah mencuri hatinya ketika zaman persekolahan.

Md Sham merupakan lelaki yang pernah mencuri hati Azizah ketika zaman persekolahan mereka dahulu.

“Saya percaya jodoh saya akan sampai satu hari nanti. Tapi bila masa itu, saya tak pasti. Setiap orang ada jodoh masing-masing,” katanya memetik laporan Bernama.

Sementara itu, Md Sham yang merupakan bekas pensyarah dan pakar perubatan kanak-kanak berkata, selepas enam bulan kematian isterinya, beliau mula menghubungi semula Azizah melalui pelajarnya.

“Dari situ, hubungan yang lama terputus kembali bertaut. Pada awalnya, anak-anak kurang senang kerana baru kematian isteri.

“Saya jelaskan kepada mereka bahawa pada usia ini, saya perlu teruskan hidup dan tidak mahu melambatkan niat itu,” kata bapa kepada empat anak dan enam cucu itu.

Perkahwinan pasangan ini turut mendapat restu ahli keluarga kedua-dua pihak.

Dalam pada itu, seorang wartawan, Hazwani Mohd Dah menyeru masyarakat agar menghormati keputusan mereka yang berkahwin semula.

“Ingatlah. Perkahwinan ialah ruang ibadah. Di dalamnya terbuka seribu pintu pahala jika kita menjalaninya dengan ihsan dan tanggungjawab.

“Perkahwinan juga menghadiahkan kita seorang kawan untuk berkongsi bahagia, susah dan senang,” tulisnya melalui satu perkongsian di Facebook.

Tambahnya, bagi individu yang kematian pasangan atau berpisah hidup, beliau menghormati dan menyokong pilihan mereka.

“Yang penting kalian bahagia. Kahwin lain bukan bermaksud melupakan yang lama. Yang telah pergi diingati dan dihargai, yang di sisi kini untuk disayangi,” katanya penuh makna.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button