Cikgu E mohon bantuan jalani rawatan Double Immunotherapy
IPOH – Seorang pesakit kanser, Nassry Mardee Ismail atau lebih dikenali sebagai Cikgu E memohon bantuan orang ramai bagi membiayai kos rawatan Double Immunotherapy yang dijangka menelan kos sebanyak RM529,632.
Dalam satu hantaran di Facebook, Nassry memberitahu, keadaan kesihatannya kini semakin memburuk apabila kansernya merebak kembali termasuk di lokasi asal di bahagian buah pinggang yang telah dibuang sebelum ini.
“Rawatan imunoterapi yang sebelumnya berjumlah RM25,000 akan digantikan dengan rawatan Double Immunotherapy yang lebih mahal iaitu RM29,424 setiap sesi.
“Maka mengambil kira 18 sesi rawatan, jumlah kos keseluruhan adalah RM529,632. Setelah tolak nilai perlindungan Takaful sebanyak RM300,000, saya memerlukan baki RM229,632 untuk meneruskan rawatan,” katanya.
Menurut beliau, sebelum ini kutipan derma kilat yang dianjurkan oleh sahabat-sahabatnya telah mencapai sasaran RM125,000, namun dana tersebut masih belum mencukupi untuk menampung rawatan Double Immunotherapy.

“Dengan penuh rendah diri, saya memohon bantuan dan doa daripada sahabat-sahabat serta orang ramai. Saya akan cuba sedaya upaya berjuang melawan kanser ini. Insya-Allah.
“Seikhlas mana pun sumbangan tuan-tuan dan puan-puan, besar atau kecil, amat saya syukuri. Ia bukan sekadar membantu rawatan saya, tetapi juga memberi saya peluang untuk terus berjuang dan meneruskan kehidupan dengan izin Allah.
“Doa kalian juga amat saya harapkan. Semoga Allah membalas segala kebaikan dan kemurahan hati dengan ganjaran berlipat ganda, dunia dan akhirat,” ujarnya lagi.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Nassry Mardee Ismail 558220621223.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






