BERITA SEMASA

CIDB tarik balik kenyataan tiada kerja pembinaan ketika paip gas meletup di Putra Heights

SHAH ALAM – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menarik semula kenyataan media yang dikeluarkan petang tadi berkaitan kes kejadian letupan saluran gas di Putra Heights, Selangor.

Menurut CIDB, tindakan itu diambil memandangkan tidak mahu mendahului proses siasatan yang masih berjalan yang membabitkan banyak pihak berkuasa.

“CIDB ingin memohon maaf atas sebarang kekeliruan atau kebimbangan yang tercetus akibat kenyataan tersebut terutamanya kepada penduduk yang terkesan.

“Kami memahami kesulitan yang dihadapi dan berusaha memastikan perkara ini ditangani dengan penuh integriti dan ketelusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, CIDB dalam kenyataan awalnya hari ini memaklumkan, siasatan pihaknya berhubung kejadian letupan saluran itu mendapati tiada aktiviti pembinaan dilakukan semasa kejadian tersebut berlaku.

Dalam pada itu, CIDB berkata, sebagai badan yang bertanggungjawab terhadap pembangunan industri pembinaan negara, CIDB memberi jaminan akan membantu siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa terlibat.

Tegas CIDB, pihaknya komited untuk memastikan setiap aspek kes itu diteliti secara menyeluruh dan adil, selain menegaskan tidak akan berkompromi dalam isu pematuhan terhadap standard keselamatan dan peraturan industri pembinaan.

“Sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan atau ketidakpatuhan, tindakan sewajarnya akan diambil tanpa sebarang pengecualian.

“Komitmen kami adalah untuk memastikan industri pembinaan negara beroperasi mengikut piawaian tertinggi demi keselamatan, kesejahteraan dan kepentingan semua pihak,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button