
China perkenal “Visa ASEAN” kepada negara ASEAN dan Timor-Leste
BEIJING — China mengumumkan pelaksanaan “Visa ASEAN” inisiatif baharu menawarkan kemudahan visa pelbagai kemasukan selama lima tahun kepada rakyat dari 10 negara anggota ASEAN serta Timor-Leste.
Kementerian Luar China, Lin Jian berkata, visa berkenaan bertujuan memudahkan urusan perjalanan bagi tujuan perniagaan dan lawatan, termasuk kepada pasangan serta anak-anak pemohon yang layak.
“Pemegang visa dibenarkan tinggal di China sehingga 180 hari bagi setiap kemasukan. Langkah ini mencerminkan komitmen China untuk memperkukuh pertukaran dan hubungan erat antara rakyat di rantau ini,” katanya dalam satu sidang media di sini, semalam.
Beliau berkata, pelaksanaan visa tersebut melengkapi dasar pengecualian visa sedia ada antara China dan beberapa negara ASEAN seperti Malaysia, Singapura dan Thailand.
“Ia juga selari dengan pelaksanaan program “Visa Lancang-Mekong” yang diperkenalkan kepada negara-negara di kawasan lembangan Sungai Mekong bagi memudahkan lagi pergerakan pelancong dan urusan rentas sempadan.
“Pertukaran rakyat antara China dan Asia Tenggara semakin aktif. Kemudahan ini memenuhi kehendak bersama untuk mengeratkan lagi hubungan,” tambahnya.
Lin turut menyatakan China dan ASEAN kini giat membina komuniti berkongsi nasib yang berteraskan prinsip saling mempercayai, keamanan dan kemakmuran bersama.
“Kita menuju ke arah membentuk sebuah rumah yang aman, damai, makmur, indah dan bersahabat,” ujarnya.
Inisiatif “Visa ASEAN” dilihat sebagai sebahagian daripada strategi diplomasi serantau China untuk memperluas kerjasama ekonomi, pelancongan dan hubungan antara rakyat secara menyeluruh.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |