Che Ta masih hutang Mara RM443,392 – Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (Mara) menafikan dakwaan bahawa pelakon terkenal, Rozita Che Wan telah melangsaikan hutang pinjaman perniagaannya.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Rozita yang popular dengan gelaran Che Ta masih mempunyai baki hutang sebanyak RM443,392 dengan agensi tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa sehingga 18 Februari lalu, Rozita telah membayar RM689,307.59, termasuk kira-kira RM150,000 secara tunai di pejabat Mara, manakala selebihnya melalui transaksi dalam talian.
“Rozita masih belum menyelesaikan sepenuhnya hutang dengan Mara dengan baki tertunggak sebanyak RM443,392 yang perlu dijelaskan sepenuhnya sebelum 31 Mac.
“Dakwaan bahawa beliau telah melangsaikan semua hutangnya adalah tidak benar.
“Jika dibayar, baki hutang Rozita itu boleh membiayai hampir 50 pelajar di Kolej Poly-Tech Mara,” katanya, memetik laporan New Strait Times.
Menurut Asyraf lagi, pembayaran itu dibuat oleh pelakon berkenaan untuk menangguhkan tindakan pelaksanaan penghakiman oleh Mara yang boleh menyebabkan mahkamah melelong hartanya dan berpotensi mengisytiharkannya sebagai bankrap.
Asyraf turut memaklumkan bahawa Mara telah menetapkan tarikh akhir untuk baki hutang itu dilangsaikan sepenuhnya sebelum akhir bulan ini.
Jika gagal, tindakan tegas akan diambil terhadap Rozita, sama seperti peminjam lain yang tidak membayar pinjaman mereka sehingga menyebabkan pinjaman tidak berbayar (NPL) Mara mencecah 49.6 peratus.
Asyraf menegaskan bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang berhutang dengan Mara termasuk selebriti atau tokoh terkenal.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






