
CCISO perkasa kepimpinan keselamatan siber sektor awam
KUALA LUMPUR – Kementerian Digital melalui CyberSecurity Malaysia hari ini melancarkan Program Pembangunan Keupayaan Profesional Keselamatan Siber iaitu Pensijilan Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat (Certified Chief Information Security Officer – CCISO) khusus untuk pegawai kementerian dan agensi kerajaan.
Inisiatif itu bertujuan melahirkan barisan pemimpin keselamatan maklumat yang berwibawa serta diiktiraf di peringkat global, selaras dengan usaha memperkukuh kesiapsiagaan sektor awam dalam menghadapi ancaman siber yang semakin kompleks.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo yang menyifatkan program itu sebagai pemangkin kepada pembangunan sumber manusia berkualiti dalam era digital.
“Pelaksanaan program CCISO ini merupakan satu anjakan besar dalam usaha membangunkan kepakaran keselamatan siber yang kompeten dalam sektor awam.
“Ia bukan sahaja meningkatkan kesiapsiagaan organisasi terhadap ancaman digital, tetapi juga memperkukuh peranan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam melahirkan tenaga kerja digital berkemahiran tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Program tersebut diperkenalkan sebagai langkah strategik menyokong pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854) yang telah berkuat kuasa sejak 26 Ogos tahun lalu.
Akta itu menyediakan kerangka kawal selia menyeluruh, termasuk penubuhan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri serta pemerkasaan kuasa Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).
Dengan pelaporan insiden, audit dan penilaian risiko yang diwajibkan secara berkala, akta ini menuntut setiap entiti Infrastruktur Kritikal Maklumat Negara (NCII) untuk melaksanakan kawalan keselamatan siber secara proaktif dan berkesan.

Maka, keperluan terhadap tenaga kerja yang profesional, kompeten dan berkelayakan dalam bidang keselamatan siber semakin kritikal.
Sebagai langkah permulaan, beberapa pegawai CyberSecurity Malaysia telah mengikuti latihan pensijilan CCISO sekali gus menjadi penanda aras awal dalam menetapkan standard profesionalisme keselamatan siber sektor awam.
Turut hadir, Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong; Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar; Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia, Al-Ishsal Prof. Datuk Ishak T. Kechik dan Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Ts. Dr. Amirudin Abdul Wahab.
Program itu turut mendapat sokongan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi HRD Corp selain kerjasama strategik bersama EC-Council Asia Sdn. Bhd. sebagai penyedia latihan dan pensijilan antarabangsa.
Sebanyak empat sesi latihan akan dijalankan mulai hujung Mei hingga Jun, meliputi lima domain utama: pengurusan keselamatan siber, perlindungan data, pematuhan perundangan, pengurusan risiko dan pematuhan piawaian digital.
Ia dirangka untuk memperkukuh keupayaan peserta dalam melindungi aset maklumat serta mengurus keselamatan siber organisasi secara menyeluruh.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |