BERITA SEMASADALAM NEGERI

Cadangan pelan damai Trump bersama Netanyahu bukan penyelesaian tapi ancaman – Tun M

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan cadangan 20 perkara yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump kononnya untuk menghentikan peperangan di Palestin bukannya tawaran damai tetapi satu ancaman.

Menurutnya, cadangan yang dirangka bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu itu jelas berat sebelah kerana boleh diterima oleh Israel memandangkan ia digubal oleh pemimpin mereka sendiri.

“Trump memberi kata dua terima cadangan itu dalam tempoh empat hari atau genosid tidak akan dihentikan malah akan menjadi lebih teruk. Jelas sekali ini bukan penyelesaian tetapi ugutan,” tegas beliau dalam kenyataan, hari ini.

Isnin lalu, Trump membentangkan pelan damai 20 perkara bagi menamatkan perang di Gaza pada sidang media bersama Benjamin Netanyahu di White House.

Pelan berkenaan mengandungi gencatan senjata segera, pertukaran semua tebusan Hamas dengan banduan Palestin di Israel, pengunduran berperingkat tentera Israel dari Gaza, pelucutan senjata Hamas dan pembentukan kerajaan peralihan yang diketuai sebuah badan antarabangsa.

Dr. Mahathir berkata, cadangan berat sebelah tersebut membawa maksud Palestin mesti menyerah kalah dan menyerahkan Gaza sekali gus mengkhianati pengorbanan lebih 60,000 nyawa yang terkorban akibat serangan udara Israel.

“Bagaimana mereka mengharapkan Hamas menerima penyerahan sebagai jalan keluar amat tidak masuk akal.

“Apa yang dicadangkan Trump dan Netanyahu hanya akan menjadikan semua pengorbanan itu sia-sia,” katanya.

Beliau menegaskan Trump bukanlah seorang pendamai kerana rekodnya menunjukkan penggunaan ugutan tarif, sekatan ekonomi dan tuntutan bersifat paksaan yang akhirnya gagal menghentikan konflik di Ukraine dan Rusia.

“Saya tidak terkejut jika Hamas menolak cadangan itu. Genosid akan berterusan, malah lebih kuat dengan sokongan Amerika Syarikat,” ujar bekas Ahli Parlimen Langkawi itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button