
Buruh warga asing ditahan bersama dadah RM80,000 di Taman Melawati
AMPANG JAYA – Seorang buruh warga asing ditahan polis ketika membawa dadah jenis methamphetamine bernilai lebih RM80,000 dalam kejadian berhampiran sebuah pusat beli-belah di Taman Melawati, di sini, Sabtu lalu.
Suspek berusia 50 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada pukul 12.35 tengah hari ketika berjalan di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pemeriksaan terhadap beg yang dibawa suspek menemukan sebanyak 20 peket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah.
“Setiap peket mengandungi bahan disyaki methamphetamine dengan anggaran berat keseluruhan 20.85 kilogram dan nilai pasaran dianggarkan lebih RM80,000,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurut Mohd Azam, hasil semakan lanjut mendapati lelaki terbabit telah menetap di negara ini sejak kira-kira 10 tahun lalu.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek turut mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” ujarnya.
Tambah beliau, rampasan dadah itu dipercayai mampu menampung keperluan hampir 21,000 penagih di sekitar Lembah Klang.
Suspek kini ditahan reman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Polis turut menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah bagi membanteras jenayah itu secara berterusan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |