
Buku ‘Science Diplomacy in the Global South’ bincang peranan diplomasi sains hadapi cabaran global
CYBERJAYA – Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dan Institut Diplomasi Sains dan Kelestarian UCSI University (IISDS-UCSI) secara rasminya telah melancarkan sebuah buku bertajuk ‘Science Diplomacy in the Global South’.
Penulis bersama buku merangkap Pengerusi MIGHT, Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid berkata, buku tersebut membincangkan peranan penting diplomasi sains dalam menangani isu-isu global termasuk perubahan iklim, kemerosotan biodiversiti dan pencemaran.
“Buku ini menekankan pentingnya kerjasama serantau untuk penyelesaian, perkongsian sumber dan inisiatif pembinaan kapasiti.
“Ia juga menekankan kerjasama saintifik dan penyelidikan dalam membentuk dasar antarabangsa dan memudahkan kerjasama merentas negara bagi menangani cabaran serta meningkatkan kepentingan bersama,” katanya selepas majlis pelancaran buku itu di sini semalam.


Majlis pelancaran buku tersebut telah disempurnakan oleh Tan Sri Dr. Syed Hamid Syed Jaafar Albar dan disaksikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Mohammad Yusof Apdal dan Pengerusi Bersama MIGHT (Industri), Tan Sri Ahmad Tajuddin Ali.
MIGHT dan UCSI-IISDS juga menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam membangunkan Program Sarjana Bersama mengenai Foresight.
MOU ini meliputi tempoh lima tahun yang menetapkan bahawa kedua-dua pihak akan bersama-sama menjadi tuan rumah Pusat Diplomasi Sains ASEAN, sekali gus memudahkan pertukaran akademik dan penyelidikan.
MIGHT diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rushdi Abdul Rahim, manakala Universiti UCSI diwakili oleh Naib Canselor dan Presidennya, Profesor Emeritus Datuk Ts Ir Dr. Siti Hamisah Tapsir.
Mengulas lanjut, Dr. Zakri berkata, buku Science Diplomacy in the Global South juga telah digunakan di UCSI dan pihaknya berharap agar ia akan dijadikan buku rujukan di semua institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.

Dalam pada itu, penulis bersama buku yang juga Timbalan Pengarah IISDS-UCSI, Profesor Dr. Mohamad Osman turut menekankan mengenai kepentingan masyarakat di negara ini untuk diberi pemahaman yang lebih mendalam tentang isu-isu yang berkaitan dengan sains.
Beliau menjelaskan, pemahaman itu penting agar masyarakat dapat memahami kesan dan implikasi yang perlu diambil berdasarkan pengetahuan saintifik.
“Contoh-contoh seperti pencemaran, tenaga nuklear, dan pelbagai isu lain menunjukkan bahawa pendidikan sains perlu diperkukuhkan supaya masyarakat dapat membuat keputusan yang berinformasi dan berkesan dalam menangani cabaran-cabaran tersebut,” ujarnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |