
Buat pusingan U secara tiba-tiba punca kemalangan maut ragut 5 mangsa
JERANTUT – Tindakan pemandu Perodua Bezza yang membuat pusingan U secara mengejut di simpang jalan yang kurang pencahayaan sebelum bertembung dengan Toyota Alphard dipercayai menjadi punca kemalangan tragik meragut lima nyawa.
Dalam nahas itu lima mangsa termasuk empat beradik yang menaiki Bezza maut di lokasi manakala tiga individu lain termasuk seorang wanita dalam kenderaan Alphard cedera.
Ketua Polis Daerah Jerantut Superintendan Zukri Muhammad berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 12.40 tengah malam.
“Siasatan awal mendapati Alphard dalam perjalanan dari Maran menghala ke pekan Jerantut sebelum Bezza membuat pusingan U secara tiba-tiba di simpang jalan, menyebabkan pertembungan antara kedua-dua kenderaan.
“Kami akan merakam keterangan saksi termasuk individu yang berada dalam Alphard bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zukri berkata, Bezza dipandu Mohamad Ikmal Ishak, 26, dari Ulu Kinta, Perak yang dalam perjalanan bersama empat adik-beradiknya dari Bota, Perak.
Katanya, bedah siasat ke atas lima mayat sedang dijalankan di Unit Forensik Hospital Jerantut.
Menurutnya, pemandu Alphard berusia 37 tahun, rakan lelakinya berusia 28 tahun, serta seorang wanita warga Thailand berusia 28 tahun yang turut berada dalam kenderaan pelbagai guna itu cedera dan sedang menerima rawatan di Hospital Jerantut.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |