BNM MAG lancar Residensi Kijang, angkat artis muda tempatan
KUALA LUMPUR – Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG) melakar sejarah tersendiri apabila melancarkan program residensi seni sulungnya, Residensi Kijang (RisiK), sebagai platform baharu bagi artis muda tempatan mengasah dan menonjolkan bakat kreatif masing-masing.
Program berprestij itu terbuka kepada artis berusia 40 tahun ke bawah dengan pengalaman profesional melebihi lima tahun serta penglibatan aktif dalam industri seni tanah air.
Daripada lebih 35 penyertaan diterima, dua artis berbakat dipilih menyertai edisi pertama program tersebut, iaitu Amir Mansor dari Pulau Pinang yang terkenal dengan gaya cat abstrak dan teknik tanda (mark-making) serta Noor Zahran dari Selangor yang dikenali melalui karya gabungan komposit 3D dan lukisan hiper-realistik.

Sepanjang tempoh residensi, kedua-dua artis itu dibimbing oleh dua tokoh seni tersohor negara, Ramlan Abdullah dan Ahmad Fuad Osman yang berperanan sebagai mentor bagi membantu memperkukuh kemahiran serta memperhalusi ekspresi kreatif mereka.
Hasil karya mereka kini dipamerkan menerusi pameran bertajuk Membuka Tirai Residensi Kijang (RisiK) yang mengetengahkan pelbagai pendekatan seni termasuk cat abstrak, teknik tanda, fotografi dan komposit digital.
Pengarah BNM MAG, Noreen Zulkepli berkata, pelaksanaan program tersebut menandakan satu kemajuan penting dalam usaha memperkukuh ekosistem seni visual tempatan.
“Program Residensi Kijang memberi peluang kepada artis muda untuk mengembangkan bakat kreatif, menghayati koleksi BNM MAG dan menerima bimbingan serta pendedahan yang penting dalam memajukan kerjaya seni mereka.
“Pameran Membuka Tirai RisiK bukan sahaja mencetuskan inspirasi kepada artis yang terlibat malah menjadi pemangkin kepada perkembangan generasi kreatif akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Pameran Membuka Tirai RisiK kini berlangsung di Ruang Sukareka, Galeri Seni BNM MAG, Aras 3, mulai 9 November hingga 14 Disember 2025.
Orang ramai dijemput hadir untuk menyaksikan hasil karya Amir dan Zahran serta menghayati interpretasi unik mereka terhadap koleksi dan pameran BNM MAG.
Maklumat lanjut mengenai program RisiK boleh diperoleh di laman sesawang museum.bnm.gov.my atau melalui media sosial Facebook @BNM.MAG, Instagram @bnmmag dan X @BNM_MAG.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






