BMS 2025: PTPTN sasar deposit Simpan SSPN RM200 juta
SHAH ALAM – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyasarkan deposit Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sebanyak RM200 juta.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Anesee Ibrahim berkata, sasaran itu selaras dengan pelancaran Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2025 yang berlangsung di Central i-City Mall, Shah Alam semalam.
“Dalam menghadapi kos pendidikan yang semakin meningkat, menabung dari awal ialah satu persediaan bijak dan bertanggungjawab sebagai satu bentuk pelaburan jangka panjang.
“Pada BMS tahun ini, PTPTN menetapkan sasaran jumlah terimaan deposit Simpan SSPN sebanyak RM220 juta,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Anesee berkata, sehingga 31 Ogos lalu, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima adalah sebanyak RM22.31 bilion dengan 7.09 juta akaun telah dibuka.
“Prestasi ini membuktikan Simpan SSPN terus cemerlang sebagai produk simpanan terbaik dan sokongan pendeposit kekal utuh,” katanya.
Terdahulu, PTPTN memaklumkan, BMS 2025 mengetengahkan tema Pengembaraan (Adventures) dan mengekalkan tagline ‘Jom Jadi Superhero Anak Anda’.
Jelas mereka, tema itu amat bertepatan kerana kehidupan dan pendidikan anak-anak adalah sebuah pengembaraan yang penuh cabaran dan penemuan baharu.
“Simpanan merupakan simbol kasih sayang, tanggungjawab dan harapan agar anak-anak dapat melangkah lebih jauh, lebih berani dan lebih yakin dalam mengejar impian pendidikan mereka.
“BMS 2025 merupakan inisiatif pemerkasaan penabungan yang dipelopori oleh PTPTN bertujuan untuk memastikan setiap ibu bapa menjadi adiwira atau ‘superhero’ kepada anak-anak.
“Melalui perancangan kewangan untuk pendidikan tinggi, ia sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman,” kata PTPTN.
Tambah PTPTN, sempena pelancaran BMS 2025 juga, pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk disertai oleh ibu bapa dan anak-anak antaranya pertandingan mewarna, ‘Action Song’, PTPTN Esport Challenge dan Baby Merangkak Race.
Selain itu, pelbagai cenderahati eksklusif BMS boleh didapati bagi mereka yang berkunjung ke kaunter PTPTN melalui tabungan dalam Simpan SSPN.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






