
BKK25: RM2 juta diperuntuk jayakan program jelajah koperasi – Ewon
PUTRAJAYA – Sektor koperasi negara terus mencatat pencapaian memberangsangkan apabila sebanyak 16,284 koperasi didaftarkan dengan keanggotaan melebihi 7.2 juta individu setakat Disember 2024.
Menurut Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), koperasi-koperasi itu berjaya mengumpulkan syer dan yuran berjumlah RM18.3 bilion manakala jumlah aset keseluruhan mencecah lebih RM173 bilion.
Lebih membanggakan, nilai perolehan tahunan koperasi merekodkan RM68.18 bilion sekali gus membuktikan keupayaan sektor itu menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah memperuntukkan RM2 juta bagi pelaksanaan Program Jelajah Koperasi yang melibatkan penyertaan 160 koperasi di seluruh negara.
“Setakat ini, sebanyak 94 koperasi telah menerima kelulusan pembiayaan berjumlah RM1.026 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Koperasi Kebangsaan (BKK25) di Putrajaya, hari ini.
Selain itu, katanya, peruntukan sebanyak RM642,000 turut disalurkan untuk Program Jualan MADANI Koperasi yang dilaksanakan secara menyeluruh di pelbagai lokasi.
“Program ini bertujuan menggalakkan penyertaan koperasi dalam aktiviti ekonomi tempatan dan memberi manfaat langsung kepada komuniti,” katanya lagi.
Sambutan Hari Koperasi Antarabangsa dan Bulan Koperasi Kebangsaan diraikan selaras dengan pengisytiharan Sabtu minggu pertama bulan Julai setiap tahun sebagai International Day of Co-operatives oleh Perikatan Koperasi Antarabangsa (ICA).
Majlis berkenaan dianjurkan oleh KUSKOP menerusi SKM sebagai usaha mengiktiraf dan menyemarakkan semangat kerjasama serta kekuatan kolektif masyarakat melalui platform koperasi.
Menurut KUSKOP, sambutan itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan berorganisasi secara koperasi serta memperkukuh semangat solidariti dalam menghadapi cabaran semasa.
Bulan Koperasi Kebangsaan turut diiktiraf kerajaan sebagai manifestasi penghargaan terhadap sumbangan signifikan gerakan koperasi dalam pembangunan sosioekonomi negara yang merangkumi pelbagai sektor dan lapisan masyarakat.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral (B) Ahmad Norihan Jalal.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |