BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Big Blue sasar 30,000 teksi elektrik, pelopor transformasi hijau industri teksi

SERDANG – Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd (Big Blue), syarikat teksi terkemuka di negara ini dijangka melancarkan perkhidmatan teksi menggunakan kenderaan elektrik (EV) bermula Mei ini, sebagai langkah besar ke arah pemodenan industri teksi tempatan.

Pengasasnya, Shamsubahrin Ismail berkata, pelaksanaan fasa pertama program itu mensasarkan sebanyak 30,000 kenderaan EV, dengan 20,000 daripadanya melibatkan teksi EV eksklusif (biru) dan 10,000 untuk perkhidmatan teksi biasa (merah).

“Sebagai permulaan, kami akan memperkenalkan 20,000 unit teksi EV eksklusif dengan pertambahan antara 600 hingga 700 kenderaan setiap bulan.

“Sasaran penuh bagi perkhidmatan teksi biasa juga adalah sebanyak 20,000 unit atau sekurang-kurangnya 10,000 unit,” katanya ketika ditemui pada Malaysia Autoshow 2025 di MAEPS, di sini.

Menurut Shamsubahrin, hasrat memperkenalkan EV dalam perkhidmatan syarikat itu telah wujud sejak lebih dua dekad lalu namun tertangguh disebabkan pelbagai kekangan, termasuk ketiadaan kenderaan EV pandu sebelah kanan yang sesuai.

Bagaimanapun, halangan tersebut kini berjaya diatasi hasil kerjasama strategik bersama syarikat pengeluar kenderaan EV popular, Chery.

Katanya, bagi tujuan itu syarikatnya akan menggunakan kenderaan tujuh tempat duduk keluaran Chery yang dijana petrol dan elektrik.

“Kenderaan ini bukan sahaja menjimatkan tenaga, malah dilengkapi pelbagai peranti moden termasuk aplikasi tempahan, GPS, sistem hiburan, rakaman kamera dalam kabin serta ciri keselamatan tambahan,” jelas beliau.

Bagi menggalakkan penyertaan daripada pemandu teksi, Big Blue juga menjalinkan kerjasama dengan Teraju dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi menyediakan kemudahan pembiayaan modal permulaan sebanyak RM20,000.

Beliau berkata, bagi kaedah pengecasan pula, pihaknya akan memperkenalkan sistem langganan bulanan tanpa had, bagi memberi kemudahan kepada pemandu dari segi kos operasi harian.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button