
Berhati-hati sebelum percaya maklumat di media sosial – Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan maklumat di media sosial bagi mengelakkan salah faham dan pelbagai persepsi negatif.
Menurut beliau, maklumat yang dikongsikan di media sosial sering kali tidak lengkap dan tidak menggambarkan situasi sebenar.
“Kita telah menyaksikan beberapa kejadian sebelum ini di mana maklumat separuh jalan menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat,” katanya selepas melancarkan program Bazar Raya Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di PPR Sri Pantai, di sini hari ini.

Fahmi turut mengaitkan perkara itu dengan insiden seorang peniaga petai yang tular sehingga mencetuskan persepsi tidak baik terhadap pihak berkuasa tempatan.
Sedangkan katanya, siasatan yang dilakukan mendapati sebenarnya ada pihak lain yang terlebih dahulu membuat aduan mengenai tindakan peniaga petai berkenaan kerana berniaga di depan premisnya.
“Pemilik kedai tersebut mengadu kepada pihak berkuasa, yang kemudiannya meminta pakcik itu mengalihkan jualannya.
“Reaksi pakcik tersebut dalam video yang tersebar telah menimbulkan pelbagai spekulasi,” katanya.
Bagaimanapun katanya, beliau dimaklumkan satu pertemuan telah diadakan antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Dr. G. Rajasekaran; Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dengan peniaga tersebut.
“Peniaga berkenaan telah menerima lesen perniagaan sementara dan pihak berkuasa telah memohon maaf,” katanya.
Dalam satu lagi contoh, Fahmi berkongsi kejadiann di mana seorang individu bukan Islam didakwa menceroboh Masjid At-Taqwa di Taman Tun Dr Ismail pada 1 Januari lalu.

Jelasnya, dalam kejadian itu pelbagai spekulasi timbul sehingga pengerusi masjid mengesahkan bahawa individu tersebut adalah Orang Kurang Upaya (OKU) yang mengalami masalah mental dan tidak sedar akan tindakannya.
Justeru, beliau menegaskan penyebaran maklumat yang tidak lengkap atau diputar belit boleh mencetuskan ketegangan terutama dalam isu yang menyentuh perniagaan dan rumah ibadat.
“Kita tidak mahu perkara berbaur perkauman tular sehingga mengganggu ketenteraman awam. Oleh itu, saya menyeru orang ramai agar mendapatkan maklumat yang sahih daripada sumber rasmi seperti RTM, Bernama dan TV3 sebelum mempercayai atau berkongsi sesuatu berita,” tambahnya.
Sementara itu, program Bazar Raya Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) telah berlangsung serentak di 1,077 NADI seluruh negara yang membabitkan lebih 5,000 usahawan.
Antara aktiviti yang diadakan termasuklah Jualan Rajmah Madani KPDN, jualan ayam Peladang Nafas, jualan Agro Madani oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta pelbagai jualan produk keperluan hari raya oleh usahawan NADI.
“Pelaksanaan program ini adalah selaras dengan aspirasi kerajaan dalam memperkasakan pembangunan perniagaan, memperkukuh daya saing serta meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi komuniti setempat,” jelas Fahmi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |